Temubual eksklusif bersama Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak kenyataan menganggap dirinya tidak lagi diperlukan untuk membina kembali UMNO selepas kalah pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-15 (PRU15) lalu.

Menurutnya, kenyataan seumpama itu hanya bersifat berat sebelah.

“Saya tidak bersetuju, adakah dengan melepaskan jawatan, tindakan itu dianggap positif oleh mereka yang mendesak sama ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi presiden dan kalah pada PRU14 lalu.

“Ketika itu, ia (desakan meletak jawatan) bukan mahu menghidupkan UMNO semula malah lari daripada gelanggang dan menembak di kaki sendiri.

“Setakat kaki sendiri tidak mengapa tetapi menembak UMNO dan menjadikan tembakan dan peluru itu sebagai bahan yang digunakan oleh pihak musuh untuk merosakkan UMNO,” katanya ketika menjadi tetamu program Owh!MG baru-baru ini.

Beliau berkata, seharusnya orang yang mendesak itulah yang harus bertanggungjawab.

“Kononnya berhasrat untuk reform semula parti jika dapat mengambil alih.

“Jelas, perwakilan telah membuat keputusan apabila jawatan dalam parti terbuka dan orang itu tidak diberi tempat dan tidak ada dalam hati perwakilan,” ujarnya.

Beliau berkata, harus diakui soal meremajakan UMNO mahu dilakukan pada usia tetapi lebih kepada minda.

“Lihat di negara kita, hanya sebuah parti politik sahaja yang diketuai oleh seseorang yang berumur di bawah 40 tahun, itu pun hanya memperolehi satu kerusi walaupun idealisme cukup tinggi.

“Jadi dalam keadaan ini, jangan lihat faktor umur sahaja, lihatlah faktor idea. Apakah relevan pendekatan untuk generasi baharu dan pengundi yang baharu pertama kali sahaja.

“Saya lebih percaya kepada semangat kerja sepasukan dan ia harus diterjemahkan. Saya tidak pernah membuat keputusan seorang diri, tetapi berjamaah iaitu kolektif,” tegasnya.

Jelas Timbalan Perdana Menteri itu, dalam sesebuah pasukan, konsep syura perlu diutamakan.

“Ia bermakna kepentingan umum, bukan hanya perut dan tembolok kita sahaja.

“Bukan juga dengan hanya input-input yang haram, saya tidak berpegang kepada itu. Segala-galanya perlu dibuat secara perundangan dan etika walaupun saya sendiri disimbah dengan pelbagai keaiban, tuduhan dan pelbagai gambaran lagi,” tambahnya.

Tambahnya lagi, prasangka berat sebelah seperti ini tidak pernah ada dalam dirinya.

“Tetapi itulah gambaran yang telah dibuat bertujuan supaya domino berlaku di dalam UMNO apabila pemimpin yang menjadi centre of gravity itu telah tertiarap, maka diharap organisasi ini juga akan tertiarap tetapi alhamdulillah ini tidak berlaku kepada UMNO.

“Jangan berumah di tepi pantai kalau takut dilanda ombak. Fitnah, cerca dan keaiban ini adalah makanan hari-hari kepada mana-mana pemimpin kecuali pemimpin yang tidak mempunyai prinsip,” katanya.

Ditanya mengenai kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya, Ahmad Zahid hanya tersenyum sambil mengucapkan terima kasih.

“Saya berterima kasih kepada orang yang mencaci, memfitnah dan mencerca saya kerana jika mereka buat pahala pada hari itu, semua pahala itu Allah SWT akan dapat berikan kepada saya.

“Saya khuatir di Padang Mahsyar nanti mereka akan defisit pahalanya walaupun melakukan banyak ibadah,” katanya. – MalaysiaGazette