Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Satu usul mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya meletak jawatan akan dibawa UMNO negeri sebagai tindak balas terhadap langkah kerajaan DAP cuba memainkan isu melibatkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya pada sidang DUN Mei depan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, beliau akan meminta Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid untuk membawa usul terhadap Guan Eng itu.

“Sehubungan itu UMNO Pulau Pinang telah memutuskan dan meminta Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid, untuk membawa satu usul bagi mendesak peletakan jawatan Ketua Menteri di Sidang DUN Pulau Pinang yang dijadualkan bermula sidang pada 19hb Mei ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengulangi desakan terhadap Guan Eng untuk bercuti atau melepaskan jawatan Ketua Menteri yang disandang beliau sehinggalah perbicaraan kes rasuah beliau di mahkamah selesai.

“Kedegilan atau keengganan Guan Eng melepaskan jawatan atau bercuti mencemar kewibawaan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang bila mana dia dituduh melakukan rasuah.

“Saksi-saksi kes terutamanya pegawai-pegawai kerajaan akan serba salah dan rasa tertekan sekiranya mereka dipanggil untuk memberi keterangan terhadap seorang Ketua Menteri yang masih atau sedang memegang jawatan.

“Jadual perbicaraan kes yang panjang juga akan mengganggu pelaksanaan tugas harian Ketua Menteri dan berkemungkinan merencat perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.

Tindakan Guan Eng yang dilihat cuba mengambil kesempatan membabitkan Shabudin juga dibidas Zainal Abidin kerana cuba memutar-belit isu tersebut walaupun penjelasan sudah dibuat mengenai kenyataannya di Parlimen baru-baru ini.

“Banyak penjelasan telahpun dibuat berkaitan kenyataan Shahbudin di Parlimen baru-baru ini. Kenyataan tersebut telah diputar–belit sehingga menyebabkan salah faham.

“Jadi sekiranya benar Guan Eng tetap mahu membawa usul di Sidang DUN terhadap Shahbudin maka UMNO Pulau Pinang melihat ini sebenarnya adalah satu tindakan balas dendam,” katanya. – MalaysiaGazette