Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO mencadangkan satu inisiatif rekonsiliasi nasional yang merangkumi agenda politik, ekonomi, sosial dan keselamatan dimulakan.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kata-kata yang mahu menjadikan rakyat sebagai keutamaan haruslah dijelmakan dengan mencari keseimbangan di antara membendung wabak Covid-19 dan kehidupan ekonomi rakyat.

“Saya menyeru agar kepimpinan politik perlulah benar-benar ikhlas dalam menjayakan cita-cita ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru seluruh kepimpinan parti politik untuk merapatkan saf di setiap peringkat dan seterusnya memberi tumpuan untuk menangani penularan Covid-19 demi kesejahteraan rakyat.

Tambahnya, ini adalah sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan hasrat UMNO yang mengajak kepada gencatan politik.

“Ibrah episod ini jelas mendidik kita bahawa dalam melaksanakan sebarang langkah besar yang hendak dilakukan oleh kerajaan memerlukan proses musyawarah dan penglibatan secara konsensus semua pihak,” katanya lagi. -MalaysiaGazette