Teo Nie Ching.

KUALA LUMPUR – Universiti Awam (UA) mempunyai kuasa autonomi sendiri dalam membuat sebarang keputusan melibatkan arahan penangguhan kelas pengajian susulan penularan jangkitan COVID-19.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, keputusan yang sama telah dilaksanakan UA apabila negara dilanda jerebu sebelum ini, bagi memastikan kesihatan setiap warga universiti terjaga.

“Untuk universiti, mereka memang ada autonomi, sebagai contoh semasa masalah jerebu, universiti juga diberi autonomi untuk membuat keputusan atau penyusunan paling sesuai buat mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis prapelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2020, di sini malam ini.

Pesta buku itu akan berlangsung dari 27 Mac hingga 5 April depan di Pusat Dagangan Dunia (WTC – sebelum ini dikenali sebagai PWTC).

Media hari ini melaporkan pihak pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengarahkan semua penuntutnya untuk bercuti selama 10 hari bermula hari ini.

Ia sebagai langkah awal berjaga-jaga dalam usaha menangani penularan COVID-19 dan mencegah sebarang jangkitan di universiti itu.

Dalam pada itu, Teo berkata, bagi penutupan sekolah kerajaan pula, ia akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini, kita tidak ada terima arahan ataupun nasihat daripada KKM untuk tutup sekolah. Ini kerana belum ada pelajar yang disahkan positif (COVID-19).

“Aktiviti luar (kelas) setakat ini berjalan seperti biasa tetapi kalau kes menjadi semakin serius, jadi kami (KPM) akan bangkit isu ini kepada KKM untuk mendapatkan nasihat mereka,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh. – Bernama