Universiti Malaya

KUALA LUMPUR – Sebagai Universiti terunggul dalam negara, pihak Pengurusan Universiti Malaya (UM) sentiasa berusaha untuk meningkatkan kedudukan dan keterlihatan Universiti di peringkat antarabangsa.

Dalam usaha pengantarabangsaan ini, jalinan kerjasama dijalankan dengan institut pengajian tinggi luar negara yang mempunyai kedudukan penarafan yang tinggi serta mempunyai pasaran yang dapat disasarkan untuk program pengajian akademik yang sesuai.

Hala tuju ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan dan sekali gus menyokong dasar pihak KPT – Landasan Ke-14 daripada Landasan Hala Tuju.

Dalam usaha pengantarabangsaan yang dijalankan secara gigih, agenda nasional tidak pernah diabaikan. Seperti mana yang ditetapkan oleh KPT, peratusan pelajar antarabangsa bagi program Ijazah Dasar di UM masih di bawah had 15%.

UM sebagai universiti terbaik di Malaysia menjadi pilihan utama dalam kalangan pemohon antarabangsa.

Peratus purata kemasukan pelajar antarabangsa ke UM adalah sebanyak 21% bagi program Ijazah Dasar dan Ijazah Tinggi. Program akademik UM menjadi pilihan utama pelajar dari luar negara kerana program yang ditawarkan dilihat berkualiti tinggi (hasil akreditasi oleh badan profesional antarabangsa), tenaga pengajar yang berkelayakan tinggi dan berpengalaman dari industri, jalinan kerjasama penyelidikan yang luas dan terkenal serta prospek pekerjaan yang baik bagi calon setelah mereka kembali ke negara mereka.

Kemasukan calon antarabangsa ke mana – mana program akademik UM adalah berdasarkan syarat kemasukan program berkenaan yang telah diluluskan oleh Senat Universiti, termasuk syarat bahasa Inggeris.

Calon juga perlu memenuhi syarat temuduga (jika disyaratkan). Di samping itu, saringan dokumentasi turut dilakukan di peringkat pusat.

Secara ringkas, dapat dirumuskan bahawa dalam usaha pihak pengurusan universiti untuk mengantarabangsa kemasukan pelajar, agenda bumiputera tetap terjamin dan tidak akan terjejas.

Pihak universiti juga sentiasa peka dengan keperluan untuk memastikan calon diterima masuk adalah calon yang berkualiti agar imej dan prestasi universiti sebagai uiversiti terunggul tidak akan terjejas. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here