Pasukan debat UPNM yang menjuarai DELIA2022.

SERDANG – Pasukan debat Kem Sungai Besi dari Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) menjuarai Pertandingan Debat Belia Antara Kolej Kediaman Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2022 (DELIA2022) setelah berjaya menewaskan pasukan debat tuan rumah, Srikandi Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) di Panggung Percubaan UPM.

Kedua-dua pasukan membahaskan usul debat bertajuk ‘Sejahtera IPT: Jawapan Kepada Masalah Kesihatan Mental dalam Kalangan Mahasiswa’, di mana UPNM beraksi selaku pencadang di pihak kerajaan sementara UPM beraksi selaku pembangkang.

Pertandingan bertemakan Mahasiswa Belia Nadi Negara Perkasa itu berlangsung sejak 26 hingga 28 Mac secara dalam talian, sebelum acara akhir semalam dibuat secara fizikal.

Pasukan UPNM meraih hadiah piala dan wang tunai sebanyak RM1,000 termasuk memenangi kategori Pendebat Terbaik, sementara pasukan debat UPM yang dibarisi oleh semua pelajar perempuan berpuas hati dengan meraih piala dan wang tunai RM700.

Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan telah disandang oleh Muhammad Danial Haikal Muhd Zamzur manakala Anugerah Pendebat Terbaik peringkat akhir disandang oleh Ahmad Quurtubi Awwabin Azman, kedua-duanya dari UPNM.

”Kami tidak pernah berhenti berlatih dan sentiasa konsisten dalam disiplin latihan. Kesemua pesrta juga amat meminati bidang debat,” ujar Quurtubi.

Pasukan Kem Sungai Besi UPNM dibarisi oleh Nur Insyirah Ab Rahman, Ahmad Qurtubi Awwabin Azman, Iman Irfan Othman dan Nur Suraya Zulkifli, sementara pasukan Srikandi KTDI UPM terdiri daripada Imaninah Mumtazah Abd Azazis, Nur Syazana Seruji, Siti Noralia Natasha Baharuddin dan Filda Mahashim.

Bagi tempat ketiga terbaik diraih oleh pasukan Mahallah Sumayyah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pasukan Lembah UPNM yang merupakan pasukan kedua UPNM. Kedua-dua pasukan mendapat hadiah RM400,

Hadiah-hadiah disampaikan oleh En Abdullah Arshad, Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM.

Turut hadir ialah Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Shukri Muhammad Noor, Pengetua Kolej Tiga Belas selaku Penaung merangkap wakil penganjur utama iaitu Sekretariat Akademik dan Sahsiah, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tiga Belas, UPM sesi 2021/2022.

Sebanyak 14 pasukan dari institusi pengajian tinggi Malaysia telah menyertai program yang turut dijayakan dengan kerjasama pengurusan Kolej Tiga Belas (K13), Kelab Debat Bahasa Melayu UPM (KDBM Putra) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pengarah DELIA2022, Nur Amila Dini Ahmad Nizam berkata debat itu memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyampaikan idea tentang isu-isu semasa dengan penuh penuh keyakinan.

”Debat ini diharapkan dapat melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai bakat dalam bidang perdebatan, sifat daya saing serta berfikir pada tahap tertinggi,” katanya. – MalaysiaGazette