Foto Instagram Uqasha Senrose.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Uqasha Senrose gembira mengenai kehamilan pertamanya namun mengakui perasaan gementar sedang menyelubungi dirinya.

Menurut isteri pelakon, Kamal Adlli itu, perasaan gementar itu apabila mengenangkan sebelum ini dirinya pernah mengalami keguguran.

“Ramai tanya-tanya kenapa saya tak jawab-jawab sebab sudah gugur. Jujurnya saya jadi takut dan biarlah saya sendiri yang cakap.

“Doakan yang baik-baik untuk saya dan kandungan ini. Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan. Jodoh, ajal, maut, rezeki, semua dari Dia.

“Apa pun saya syukur. Alhamdulillah, rezeki manusia itu berbeza-beza dan ini antara rezeki yang paling besar untuk saya. Gementar sejak nak jadi isteri dan sekarang gementar untuk jadi ibu pula,” tulis wanita berusia 31 di hantaran di Instagram miliknya semalam.

Pada hantaran sama, Uqasha turut berkongsi sekeping gambar paparan alat ujian kehamilan yang menunjukkan dirinya sedang mengandung kini.

Selain itu, Uqasha turut meluahkan bahawa apa yang diharapkan dan didoakan adalah supaya kandungan sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan sempurna sifatnya.

“Bila bakal jadi ibu ini, baru tahu dan rasa yang comel ke cantik ke semua itu tak penting. Tetapi apa yang paling penting adalah kesihatan dan sempurna. Itu sahaja doa saya,”katanya.

Untuk rekod, Uqasha dan Kamal, 37, mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang.

Uqasha sebelum ini mendedahkan pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali. – MalaysiaGazette