Foto Facebook Ustaz Ebit Lew.

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew meneruskan aktiviti kebajikan di luar negara apabila beliau akan menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin dalam usaha menghulurkan bantuan di negara berkenaan yang diserang Israel sebelum ini.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Ebit memuat naik sekeping gambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sambil memegang pasport dan tiket penerbangan.

“Pohon doakan ya Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin. Semoga Allah bantu dan mudahkan semuanya.

“Ya Allah bantulah kami dan hanya kepada-Mu kami berserah,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Wisma Putra yang menyokong misi kemanusiaan itu.

“Semoga setiap usaha kita demi rakyat Palestin dirahmati Allah SWT,” katanya sambil memaklumkan Turkish Airlines menaja tiket penerbangan rombongannya. – MalaysiaGazette