UTM

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan mengadakan pertemuan dengan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia Japan (MJIIT) bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu kenaikan yuran berganda.

Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM dalam satu kenyataan berkata, pertemuan tersebut turut melibatkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan ia akan diadakan dalam masa terdekat.

“UTM amat berharap dengan pertemuan yang bakal diadakan, isu ini akan diselesaikan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya.

Semalam, sekumpulan mahasiswa MJIIT bertindak melakukan “flash mob” sebagai tanda bantahan terhadap Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang didakwa berdiam diri dalam kemelut kenaikan yuran universiti tersebut.

Mereka menggesa campur tangan Maszlee dalam isu kenaikan yuran daripada RM945 hingga RM5,000 setiap semester meskipun sudah beberapa kali membuat rundingan dengan beberapa pihak.

Malah, mereka turut mendakwa berdepan jalan buntu apabila pihak universiti dan kementerian saling menunding jari antara satu sama lain.

Dalam pada itu UTM menerusi kenyataan sama berkata, pihaknya memandang serius terhadap isu berkenaan amat prihatin yang mana universiti telah mengambil pelbagai pendekatan dalam memberikan penjelasan.

Ujarnya, antara penjelasan yang telah diberikan ialah MJIIT dipersetujui Mesyuarat Kabinet (berdasarkan Akta Universiti Kolej Universiti, AUKU, berautonomi penuh dari segi tadbir urus dan kewangan) pada 26 Mei 2010.

Katanya, kos sebenar untuk mengikuti pengajian tanpa subsidi di MJIIT adalah sebanyak RM79,868 untuk empat tahun atau lapan semester, namun pihak Universiti telah bersetuju untuk menanggung 49 peratus daripada yuran berkenaan, sekaligus mengurangkan yuran yang dikenakan kepada pelajar MJIIT kepada RM 40,000 untuk empat tahun atau lapan semester.

“Berkaitan isu ini, pihak UTM telah memberi maklum balas secara berperingkat kepada pihak MJIIT Voices dalam pelbagai bentuk seperti surat rasmi, kenyataan rasmi melalui laman media sosial dan emel bertarikh 29 Oktober 2018, 31 Oktober 2018, 16 November 2018, 12 Disember 2018, 7 Januari 2019 dan 20 Februari 2019 serta surat penjelasan kepada Pengarah Bahagian Governan, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia pada 16 November 2018,” ujarnya. – MalaysiaGazette