Rodrigo Ribeiro de Araújo

MANJUNG – Vale, salah satu syarikat perlombongan terkemuka dunia hari ini mengumumkan pelaburan sebanyak RM5 juta bagi meletakkan Pusat Ekologi Vale (VEC) seluas 715 ekar di Teluk Batik sebagai salah sebuah tarikan ekopelancongan terkemuka di Perak.

Dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh Vale, VEC mengekalkan ekosistem hutan pantai Teluk Batik yang unik, dihuni lebih daripada 100 spesies tumbuhan dan 125 spesies burung.

Kawasan pantai yang berhadapan dengan taman ekologi yang luas ini juga merupakan lokasi lapan spesies karang, serta banyak spesies marin lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Vale di Malaysia, Rodrigo Ribeiro de Araújo berkata, VEC merupakan aset penting bagi Vale kerana membolehkan syarikat itu terlibat secara langsung dalam memulihara ciri-ciri semula jadi Manjung yang unik.

”Kami berharap pelaburan untuk menaik taraf VEC akan menjadikannya destinasi ekopelancongan yang berdaya maju dan mampu menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa; seterusnya merangsang sektor ekonomi berteraskan pelancongan di Manjung,” katanya.

Projek menaik taraf VEC yang akan bermula Disember ini merangkumi penambahan tarikan baharu, seperti ruangan zen yang mempunyai dewan meditasi unik, serta penambahbaikan laluan dan kemudahan sedia ada di pusat ini bagi menampung lebih banyak pelancong ekologi.

“Suasana nyaman di kawasan ini menyediakan ruang yang membangkitkan ketenangan untuk komuniti berkumpul, menenangkan fikiran serta mencetuskan inspirasi,” tambah Rodrigo.

Sungguhpun fokus VEC terus berteraskan tujuan asalnya sebagai pusat pemuliharaan alam sekitar, Rodrigo juga mempunyai visi untuk menjadikan pusat ini sebagai ‘Hab Komuniti’ yang meriah pada masa akan datang; tempat yangmana komuniti di Manjung berkumpul dan bersosial dalam suasana yang harmoni dan inklusif.

“Sebagai sebahagian daripada naik taraf VEC, kami juga akan menambah kemudahan baharu mesra komuniti di sini, seperti dewan serbaguna, serta pusat sukan yang menempatkan futsal, bola keranjang dan sepak takraw. Masyarakat setempat akan dapat menggunakan kemudahan sukan ini secara percuma – membolehkan kami mempromosikan gaya hidup sihat kepada semua rakyat Manjung,” ujarnya.

Sejak dibuka pada tahun 2015, VEC telah menarik lebih daripada 20,000 pengunjung.

Pusat ini menawarkan kelas yoga, Muay Thai dan kecergasan mingguan secara percuma kepada penduduk di Manjung mulai tahun ini, menarik lebih 1,000 peserta.

Tiga laluan kembara hutan termasuk laluan air terjun sepanjang 2,200 meter yang menjadi tarikan utama di sini juga dijadualkan dibuka semula kepada orang ramai secara berperingkat mulai November 2022.

Laluan kembara ini juga boleh disesuaikan mengikut tahap kecergasan yang berbeza-beza, membolehkan segenap lapisan masyarakat untuk menggunakannya. – MalaysiaGazette