Itali merupakan negara Eropah yang teruk dilanda koronavirus baru. foto Agensi

ROM – Itali bertindak melakukan sekatan ke atas sekurang-kurangnya 16 juta penduduk di rantau Lombardy dan 11 wilayah di utara dan timur negara ini dalam usaha mengekang wabak Covid-19.

Sekatan ini turut membabitkan pusat kewangan di Milan dan tumpuan pelancong di Venice, selain Parma dan Modena.

Mandatori kuarantin itu dikuatkuasakan pada hari Ahad sehingga 3 April.

Susulan arahan itu, semua gimnasium, kolam renang, muzium dan pusat peranginan ditutup.

Itali adalah negara Eropah yang paling teruk dilanda Covid-19 dan merekodkan kes jangkitan ketara pada semalam.

Ia merekodkan jumlah kematian melepasi 230 orang dengan 50 mangsa meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

Manakala jumlah kes jangkitan pula melebihi 1,200 orang kepada 5,883 semalam.

Setakat ini kira-kira 50,000 penduduk di utara Itali telah dikuarantinkan.

Penduduk terlibat diminta berada di kediaman sepanjang kuarantin itu atau dikenakan penjara selama tiga bulan.

Semua pertandingan sukan membabitkan orang awam juga tidak dibenarkan. – MalaysiaGazette