Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan mendapat sejumlah RM79.68 juta untuk diagihkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpencen dan tidak berpencen menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Agihan sebanyak RM500 seorang itu melibatkan seramai 159,368 orang veteran ATM yang layak.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pemberian Bantuan Harapan Negara itu akan diberi secara one-off (sekali), adalah lebih tinggi berbanding 43,000 orang pada 2017 di bawah Bantuan Bakti Negara oleh kerajaan dahulu.

“Pemberian ini sebagai penghargaan kepada veteran ATM oleh Pakatan Harapan dan ini adalah usaha berterusan dalam menjaga kebajikan semua golongan veteran ATM.

“Walaupun kekangan kewangan, kita cari jalan, malah saya beberapa kali ke Kementerian Kewangan berusaha supaya dapat diagihkan sedikit kepada veteran ATM.

“Dan setelah dicari jalan, akhirnya diberi kepada veteran ATM menjelang hari raya nanti yang jumlah lebih RM79.68 juta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata, Jabatan Veteran Negara dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan permohonan bantuan tersebut itu.

Permohonannya akan dibuka bermula 14 April 2019 dan pembayaran akan dilakukan pada 27 Mei 2019. – MalaysiaGazette