Perang poster yang menunjukkan sokongan kepada Vigneswaran.

KUALA LUMPUR – Hampir kesemua pucuk pimpinan dan akar umbi MIC dipercayai masih menyokong Tan Sri SA Vigneswaran untuk kekal  menerajui parti terbesar masyarakat India sebagai Presiden parti itu.

Ini boleh dilihat dengan perang poster di sekitar Ibu Pejabat MIC.

Sejak sebulan yang lalu, ramai Pengerusi Bahagian dan Cawangan MIC tampil menyokong Vigneswaran.

Tempoh jawatan Presiden semasanya iaitu Tan Sri S.A Vigneswaran akan tamat pada 14 Julai.

Sebelum ini dilaporkan pemilihan bagi jawatan tertinggi lain MIC akan diadakan selepas pemilihan presiden parti.

Pekerja-pekerja menggantung poster Vigneswaran di Ibu Pejabat MIC menjelang pemilihan presiden parti itu.

MalaysiaGazette turut difahamkan ketika ini belum ada calon yang menjadi sebutan selain Vigneswaran.

Malah dijangka Vigneswaran akan menang tanpa bertanding pada hari ini.

Vigneswaran yang juga mantan Yang Dipertua Dewan hadir menyerahkan borang pencalonan sekitar jam 11.50 pagi ini ketika sesi penamaan calon yang bermula dari 11 pagi dan tamat pada 1 petang.

Selain Vigneswaran, tidak nampak sebarang kelibat calon lain menyerahkan borang pencalonan ketika ini para pengamal media sudah menanti sejak jam 10 pagi lagi.

Vigneswaran menyerahkan borang pencalonan Presiden MIC.

Vigneswaran sebelum ini yang memegang jawatan Naib Presiden menang tanpa tanding dengan menerima sokongan daripada 3,616 cawangan MIC di seluruh negara yang terdiri daripada 4,300 cawangan pada 2018.

Beliau mula menerajui MIC ketika bergelar pembangkang pada tahun 2018 dan  melakukan perubahan dalam kalangan akar umbi serta pemimpin dengan meneruskan matlamat asal MIC iaitu perjuangan buat masyarakat India.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MIC, Tan Sri G. Rajoo dijangka membuat pengumuman pemilihan Presiden bagi penggal 2021 hingga 2024 sekitar jam 1 petang ini. – MalaysiaGazette