Gambar hiasan

BEIJING – Anak syarikat Zhejiang Geely Holding Group, Volvo Cars bersetuju untuk menyediakan beberapa jenis enjin kepada kenderaan jenama Geely.

Tiga sumber yang rapat dengan Geely dan Volvo berkata, model pertama Geely yang menggunakan enjin Volvo dijangka memasuki pasaran seawal-awalnya hujung tahun 2019.

Kereta berkenaan akan dilengkapi dengan enjin 1.5 turbo yang mana Volvo telah membangunkan enjin berkenaan bagi kereta-kereta kecilnya.

Volvo dijangka berkongsi enjin turbo 2.0 liter selepas itu dan turut membenarkan kereta-kereta jenama Geely menggunakan platform kenderaan bersama yang telah dibangunkan untuk Volvo dan Lynk & Co.

“Syarat-syarat yang baharu sahaja diumumkan di antara Volvo Cars dan Geely Group bermakna teknologi sedia ada dan pada masa hadapan boleh dikongsi oleh Volvo, Geely Auto dan Lynk & Co di bawah perjanjian perlesesanan,” kata seorang jurucakap Volvo.

Beberapa bulan lalu, Geely telah membeli 49.9 peratus kepentingan di dalam Proton Holdings Bhd. daripada DRB-Hicom Bhd.

Pegawai-pegawai Geely memberitahu Reuters, pembuat kereta dari Hangzhou itu merancang untuk menambah baik kereta-kereta Proton dengan berkongsi teknologi dari Geely dan Volvo.- MalaysiaGazette