Hospital Sungai Buloh

KUALA LUMPUR – Wad bersalin di Hospital Sungai Buloh selamat untuk diduduki berikutan bau hangit yang menyebabkan pera pesakit dipindahkan pada petang tadi.

Pengarah hospital tersebut, Dr Kamaruddin Alias berkata,  keadaan adalah terkawal dan kesemua pesakit telah dimasukkan semula ke wad bersalin.

Malah, tambah beliau, Perkhidmatan rawatan bersalin tidak terjejas, tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan.

“Pada pukul 7.40 malam tadi, pihak bomba telah mengisytiharkan kepada pihak hospital bahawa wad bersalin tersebut adalah selamat untuk diduduki. keadaan adalah terkawal dan kesemua pesakit telah dimasukkan semula ke wad bersalin,” katanya dalam kenyataan.

Kamaruddin berkata, bau tersebut telah dikesan di beberapa unit bilik bersalin yang terletak di tingkat 2 bangunan Blok C, Hospital Sungai Buloh oleh kakitangan Hospital yang bertugas.

Jelasnya, Kakitangan yang bertugas telah mengambil tindakan pantas untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada Pengurus Fasiliti Radicare serta pihak pengurusan hospital.

Selaras dengan protokol keselamatan sediada, tambah beliau, pengungsian (evacuation) wad bersalin tersebut telah dilakukan serta merta di mana pesakit, pelawat serta petugas kesihatan telah dipindah ke tempat selamat.

“Dalam masa yang sama, pihak pengurusan Fasiliti Radicare bersama pihak bomba telah melakukan pemeriksaan awal bagi mengesan punca bau hangit tersebut,” jelasnya.

Kamaruddin berkata, sehingga kini bomba berserta Radicare masih menjalankan siasatan lanjut untuk mencari punca sebenar berlaku kejadian.

Katanya, pihak hospital dimaklumkan bahawa siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan kebakaran dapat dikenal pasti yang mengakibatkan bau hangit tersebut dan maklumat lanjut akan diberikan oleh pihak berwajib apabila siasatan telah selesai. – MalaysiaGazette

Bau hangit di wad bersalin, pesakit dan bayi selamat dipindah keluar