Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang baharu.

Pelantikan dibuat dalam satu majlis yang diadakan di Kementerian Alam Sekitar semalam.

Menurut sumber, jawatan bagi Timbalan Ketua Setiausaha dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAN masih lagi kekal dipegang penyandangnya namun, tiga anggota suruhanjaya berubah dengan masing-masing dua merupakan profesional dan seorang lagi ahli politik.

Turut tersenarai sebagai anggota SPAN iaitu Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Wan Hassan Mohd Ramli

Secara umumnya lantikan baharu profesional yang dibuat adalah berdasarkan merit dan kepakaran yang dimiliki dalam bidang masing-masing.

Manakala, lantikan politik pula dinilai berasaskan semangat teknokrat dan profesionalisme, demikian menurut sumber berkenaan.

Menurut sumber itu lagi, pada majlis berkenaan Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menzahirkam hasrat untuk meneruskan dasar yang baik serta memperbaiki dasar yang perlu kepada pembaharuan.

Tuan Ibarhim juga katanya, menghargai sumbangan anggota suruhanjaya yang terdahulu serta mengucapkan tahniah kepada anggota baharu sambil meminta agar isu air negara dapat dirungkai dengan sebaik mungkin jika ada. – MalaysiaGazette