Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

PUTRAJAYA – Tempoh 100 hari pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mungkin sama dilalui oleh pemerintah terdahulu, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.

Begitu juga buat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yang terpaksa berdepan dengan pelbagai rungutan usahawan yang hilang pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam kekangan aktiviti ekonomi dan pergerakan terhad secara tidak langsung menjadikan tempoh 100 hari pentadbiran kementerian, jabatan dan pelbagai agensi kerajaan berkaitan lebih mencabar berbanding sebelum ini.

Perkara itu diakui sendiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di mana beliau dan jentera kerajaan sukar melaksanakan tugas serta tanggungjawab secara normal ketika tempoh PKP.

“Keadaan agak mencabar khususnya minggu pertama PKP dikuatkuasakan, kita sendiri tercari-cari macam mana nak jalankan tugas.

“Walaupun 100 hari ini mencabar, namun Kementerian berjaya melaksanakan banyak program dan inisiatif dengan peruntukan RM13.92 bilion, satu jumlah sangat besar,” katanya pada sidang media sempena 100 Hari Pencapaian MEDAC di pejabatnya, hari ini.

100 Hari Prestasi MEDAC
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima penghargaan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohammad Mentek (kiri) pada Sesi Amanat dan Serahan 100 Hari Pencapaian MEDAC di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 17 JUN 2020

Menurut Wan Junaidi, pembangunan fizikal tidak begitu mencabar berbanding pengurusan usahawan yang melibatkan pemikiran, kajian dan pelaksanaan untuk program berteras pembangunan ekonomi.

“Bukan mudah untuk memacu ekonomi, semasa PKP dilaksanakan dan semasa ekonomi dibuka secara berperingkat-peringkat bermula 4 Mei lalu.

“Pelbagai perkara kita hadapi contohnya kita laksanakan program pemulihan perniagaan khususnya TEKUN Nasional yang memberi manfaat lebih 20,000 penerima.

“Banyak halangan pada awal pelaksanaannya seperti pemberian moratorium oleh agensi pelaksana seperti SME Bank dan TEKUN yang terpaksa menanggung beban kerana tiada pembayaran pembiayaan.

“Ada orang ambil bebanan hingga beri manfaat 1.5 juta masyarakat terlibat dengan pinjaman bernilai RM7.5 bilion.

“Bayangkan kalau RM7.5 bilion dibayar balik maka mereka senang saja, namun ia tidak dibenarkan oleh kerajaan untuk mengutip pembiayaan,” jelasnya.

Lebih mencabar katanya apabila perlu MEDAC perlu mencari alternatif lain untuk memastikan industri ekonomi bergerak di samping memberikan morotarium pembiayaan perniagaan.

“MEDAC bukan sahaja menghentikan sementara pembayaran balik.

“Masa itu kita bukan hanya menghentikan pembayaran balik daripada peminjam, kita kena lihat apa alternatif untuk industri untuk bergerak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette