Polis Korea Selatan pada Rabu berkata wang tunai bernilai 8.1 bilion won (US$7.4 juta) dijumpai di sebuah kasino di Pulau Jeju, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kecurian wang membabitkan pekerja.-Gambar agensi.

JEJU – Polis Korea Selatan pada Rabu berkata wang tunai bernilai 8.1 bilion won (US$7.4 juta) dijumpai di sebuah kasino di Pulau Jeju, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kecurian wang membabitkan pekerja, lapor Agensi Berita Yonhap.

Siasatan dijalankan untuk mengenal pasti sama ada wang dijumpai di peti besi kasino itu adalah sebahagian daripada wang bernilai 14.56 bilion won yang hilang dari Kasino Landing di Jeju Shinhwa World minggu lalu.

Penyiasat turut menjumpai timbunan wang bernilai beberapa bilion won di kediaman seorang eksekutif wanita Malaysia yang kini menjadi suspek utama. Dia bertugas mengendalikan dana kasino terbabit.

Landing International Development Ltd., pengendali kasino Jeju yang berpangkalan di Hong Kong itu, mendedahkan kehilangan wang menerusi laman webnya minggu lalu dan membuat laporan polis melalui anak syarikat tempatan, Landing Entertainment Korea.

Minggu lalu, polis melancarkan operasi memburu wanita itu, selepas memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kasino. Menurut polis, rakaman video ketika kejadian telah dipadamkan.

“Kami sedang menjejaki di mana wang tunai itu dan orang yang disyaki dengan memeriksa rakaman CCTV,” kata polis.

Mereka berkata, siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk kemungkinan ada pihak lain bersubahat kerana jumlah wang yang hilang terlalu besar dan berat jika dilakukan oleh seorang sahaja.- BERNAMA