KUANTAN – Inisiatif penerbangan ihsan  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan ibu dan kandungan yang tinggal kawasan pedalaman Kampung Orang Asli Chenan Cherah (Lama), Pos Lemoi, Cameron Highlands semalam.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ibu tersebut telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki dengan berat 2.55 kilogram.

“Tahniah kepada pihak JBPM mengerakkan Unit Udara bagi Penerbangan Ihsan (Mercy Flight) dan pasukan perubatan bagi membawa ibu akan bersalin dari Kampung Orang Asli  sekitar pukul 12.15 tengahari semalam.

“Pesakit merupakan penghidap primigravida dan sangat berisiko untuk dibawa keluar dari kampung tersebut melalui jalan darat.

“Alhamdulillah, kedua-dua ibu dan bayi dalam keadaan sihat dan stabil. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas usaha yang murni ini,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, tiga anggota dari Klinik Kesihatan Ringlet yang terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang ketua jururawat dan seorang jururawat masyarakat membantu misi menyelamatkan mangsa.

“Perjalanan jalan darat mengambil masa lebih, dianggarkan sejam menaiki ambulans pacuan empat roda dan hampir tiga jam jika berjalan kaki merentas hutan.

“Pada masa yang sama Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands telah menghubungi Ketua Perkhidmatan Kecemasan Negeri Pahang untuk penyelarasan permohonan penerbangan ihsan membawa keluar pesakit ini,” ujarnya.

Pasukan Penerbangan Ihsan telah tiba di Kampung Chenan Cherah sekitar pukul 3.50 petang dan membawa keluar ibu tersebut bersama-sama pasukan KK Ringlet ke Tanah Rata.

Tambah Dr. Nor Azimi, añmbulans  telah berjaya membawa pesakit ke hospital pukul 4.40 petang.

“Terpinggir bukan bermakna tercicir. JKN Pahang akan sentiasa bersedia dan komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada komuniti terutama masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman serta jauh daripada kemudahan fasiliti kesihatan,” katanya. – MalaysiaGazette