Penguatkuasa Pejabat Tenaga Kerja Bangi memeriksa salah seorang pekerja asing pada Operasi Khas Tapak Pembinaan di Serene Heights, Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2020.

MENGIKUT data dan statistik yang dikeluarkan pada tahun 2018 oleh Jabatan Imigresen Negara, jumlah pekerja asing yang bekerja di Malaysia secara sah adalah sejumlah 1.73 juta orang. Majoritinya berasal dari Indonesia, selebihnya adalah berasal dari Bangladesh, Nepal, Myanmar dan Pakistan. Fakta tambahan, sejumlah 3.3 juta warga asing telah menetap di Malaysia seperti yang dianggarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara. Mengejutkan bukan? Tapi jangan terkejut dahulu kerana ada lagi angka yang bakal mengejutkan anda lagi. Menurut satu rencana yang ditulis oleh Murray Hunter berjudul Malaysia’s massive foreign worker dependency (pergantungan keterlaluan terhadap pekerja asing) yang ditulis pada November 2019, jumlah pekerja tanpa dokumen yang sah di Malaysia adalah berjumlah 2.5 juta hingga 3.3 juta pekerja.

Angka tersebut sangat membimbangkan jika jumlah 5 juta hingga 6 juta tersebut dibandingkan dengan jumlah 32 juta rakyat Malaysia, di mana jumlah warga asing itu meliputi lebih kurang 15% dari jumlah penduduk di Malaysia. Kemasukan pekerja asing di Malaysia ini sememangnya menyumbang kepada pembangunan serta ekonomi negara, tetapi impak negatifnya kepada rakyat serta negara perlu diteliti juga. Antara faktor lambakan warga asing ini adalah kebanyakan pekerja asing yang sudah tamat tempoh bekerja di negara ini tidak pulang ke negara asal masing masing.

Ada dalam kalangan mereka yang membuka perniagaan di sini seperti membuka kedai runcit, kedai di tepi jalan dan juga di pasar. Hal ini jelas kelihatan di setiap sudut ibu kota seperti di Jalan Tunku Abdul Rahman. Sikap ‘Ali Baba’ sesetengah rakyat kita juga menjadikan barah ini kian membiak dan sukar dikawal. Apakah Tindakan oleh pihak kerajaan serta pihak penguasa sekitar untuk membasmi masalah ini? Adakah suatu hari nanti industri kita akan kebanyakannya akan dibolot oleh warga asing sekali gus kita ibarat menumpang di bumi sendiri? Mahukah anda melihat suatu hari nanti kita pula yang akan meminta kerja dari warga asing?

Antara puncanya juga bertitik tolak dari rakyat kita sendiri juga. Menurut statistik, hampir 1.5 juta warga asing di negara kita berada di dalam sektor binaan. Kebanyakan rakyat Malaysia kurang gemar untuk berada di sektor ini atas beberapa faktor terutamanya tahap kelesesaan bekerja, gaji yang kurang memuaskan dan dianggap sebagai pekerjaan yang tidak berkelas. Jadi kebanyakan majikan mengambil pekerja asing terutamanya dari Indonesia dan Bangladesh untuk mengisi ruang ruang tenaga yang diperlukan untuk sektor ini.

Kebanyakan pekerja asing ini memiliki daya tahan yang sangat tinggi dan mampu berada dalam tekanan, tidak seperti pekerja tempatan. Rata rata mereka sanggup bekerja lebih masa dengan bayaran yang lebih rendah. Kebanyakan dari mereka sudah bekerja dengan beberapa projek pembinaan dan mendorong mereka diambil oleh para majikan atas sebab pengalaman dan skil mereka yang tinggi. Jika hendak dibandingkan pekerja tempatan, masalah tentang gaji, bekerja lebih masa dan masalah cuti sudah pastinya akan berlaku. Gaji murah, mampu bekerja lebih masa, skil tinggi dan berpengalaman, sebagai majikan sudah pastinya pekerja asing menjadi pilihan untuk memaksimumkan keuntungan.

Masalah lambakan pendatang asing di negara ini boleh menyebabkan peningkatan kadar jenayah secara drastik terutama sekali disaat ekonomi seperti ini. Perkara ini sememangnya akan berlaku apabila pendatang asing yang tidak mempunyai pekerjaan atau gaji yang cukup untuk menampung kos sara hidup di negara ini. Berdasarkan petikan Sinar Harian yang disiarkan pada 15 Oktober 2019, kadar jenayah yang melibatkan warga asing direkodkan pada jumlah 42,451 kes pada tahun 2016 sehingga ogos 2019 menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

KDN turut menyatakan bahawa sebanyak 12,647 kes dicatakan adalah dari kes curi, 11,862 kes dari pecah rumah dan 4,822 kes dari kes curi motorsikal. Namun, usaha dari pihak Polis Diraja Malaysia, statistik jenayah indeks secara keseluruhan yang melibatkan warga asing menunjukkan penurunan iaitu dari 13,110 kes pada tahun 2016 kepada 11,441 pada tahun 2017 dan 10,751 pada tahun 2018.

Seterusnya, ekonomi negara kita akan diancam dengan kemasukkan pekerja asing. Hal ini demikian kerana isu pengaliran keluar mata wang negara pada kadar yang tinggi pada setiap bulan bakal merugikan negara dari segi tukaran wang dapat dilakukan dengan mudah dan pantas serta perkhidmatan yang murah. Berdasarkan petikan berita dari Sinar Harian pada 21 September 2019, hampir RM 5 Bilion wang negara mengalir keluar menerusi pekerja asing yang bekerja di sektor pembinaan di negara ini dalam tempoh setahun.

Menurut Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, ketika ini terdapat 420,000 pekerja asing yang berdaftar dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dalam sektor berkenaan. Jika mereka menghantar kiriman wang ke luar negara RM1,000 sebulan, dianggarkan hampir RM5 bilion wang kita mengalir ke luar negara. Selain itu, kerajaan juga terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi iaitu sebanyak  RM1.169 juta bagi tujuan penahanan pedatang asing tanpa izin dalam sehari. Perkara ini akan memberi kebebanan yang tinggi kepada kewangan negara serta akan mengugatkan kegemilangan ekonomi di negara ini.

SALAH SATU PUNCA COVID SEMAKIN PARAH

Kenaikan kes positif covid di Malaysia ini juga salah satu faktornya juga bertitik tolak daripada isu pekerja asing dan majikan. Sebuah kilang pembuat sarung tangan getah adalah satu penyumbang kepada kes terbesar di Selangor. Antara salah satu faktornya adalah pihak majikan mengabaikan hak dan kebajikan para pekerja asing. Mereka diletakkan di sebuah ruang yang sempit, kotor dan tidak memiliki infrastruktur yang baik. Mereka diletakkan secara beramai disebuah ruangan yang sempit dan menjadi faktor mudahnya covid-19 menular.

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia juga bakal mengenakan Tindakan mahkamah kepada syarikat tersebut kerana melanggar peruntukan membabitkan penyediaan perumahan kepada pekerja masing masing. Syarikat berkenaan didapati melanggar peruntukan terhadap Akta Standard Minima Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Selain dari syarikat pembuat sarung tangan tersebut, antara syarikat Malaysia yang sering disebut oleh media media dalam isu warga asing ini adalah syarikat Bestinet dan FWSMC. Menurut artikel yang dilaporkan oleh Nepali Times, terdapat salah laku yang dilaporkan oleh syarikat terbabit. Syarikat dari Malaysia didakwa bekerjasama dengan salah satu dari syarikat Nepal untuk mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil daripada bayaran visa yang tinggi dan pemeriksaan biometrik.

Baru baru ini juga, Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) mendakwa bahawa Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) gagal melindungi hak dan kebajikan pekerja warga negara bangladesh. Jurucakap BAIRA, Ali Haider Chowdhury berkata, wujud peniaga yang cuba membentuk sindiket untuk memanipulasi perniagaan pengambilan pekerja asing semasa Malaysia membuka pintu sempadan selepas bertarung dengan pandemik covid-19.

BAIRA mengganggap bahawa kaedah FWCMS adalah sistem kontroversi dan gagal dalam sektor tenaga manusia. Oleh itu BAIRA medesak supaya kerajaan Bangladesh memansuhkan kaedah tersebut. Kemudian ada pendakwaan dari portal berita yang mana mendakwa menerima pengesahan dari sumber Kementerian Sumber Manusia berkenaan perkara berkenaan isu jumlah agensi pengambilan pekerja.  Seterusnya, pada 2018 kerajaan PH menangguhkan pengambilan pekerja Bangladesh susulan dakwaan penyelewengan dalam proses pengambilan serta kos yang tinggi.

Dato Amin atau Datuk Seri Mohd Amin Bin Abdul Nor, yang diberi status Pemastautin Tetap Malaysia, adalah lelaki Bangladesh yang dianggap sebagai pemain utama dalam industri dan merupakan pengasas kepada syarikat yang bernama BESTINET ini.

UTAMAKAN PEMAIN TEMPATAN

Di saat ekonomi yang sedang teruk dan ramai yang sedang dibuang kerja ini, utamakanlah rakyat tempat untuk mengisi setiap ruang ruang dalam sektor pekerjaan. Dengan ramai yang ketiadaan kerja dan kehilangan punca pendapatan, saya yakin lebih ramai rakyat tempatan akan sanggup pekerja di sektor-sektor yang sebelum ini dipenuhi oleh warga asing.

Rakyat kita tidak kurang hebatnya, mereka juga mampu bekerja dalam sektor ini. Seperti yang kita dapat lihat ramai pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura dalam sektor pembinaan dan sektor-sektor berat yang lain. Isunya adalah gaji yang setimpal, bukan faktor rakyat kita yang manja.

Jamalee Bashah
Presiden Persatuan Patriots Malaysia