Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba foto SYAFIQ AMBAK, 29 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Mana-mana rakyat tempatan dan orang asing yang memasuki Malaysia dari luar negara hendaklah membayar fi bagi ujian pengesanan Covid-19 sebelum mendapat pelepasan imigresen.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba berkata, pelaksanaannya berkuatkuasa 29 Jun lalu selaras dengan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi Bagi Ujian Pengesanan Penyakit Koronavirus 2019) (Covid-19)) 2020 .

Menurut beliau, warga negara atau orang asing yang berada di Malaysia boleh meminta untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 di mana-mana hospital kerajaan atau klinik KKM dan hendaklah membayar fi.

“Tiga jenis ujian pengesanan Covid-19 ditetapkan dengan kada yuran tersendiri bagi warga tempatan dan warga asing di negara ini.

“Untuk ujian Covid-19 tindak balas berantai polimerase, warga tempatan dikenakan fi RM150 manakala RM250 untuk warga asing, kit ujian pantas antigen pula  sebanyak RM60 (warga negara) dan RM120 (warga asing) dan kit ujian pantas antobodi pula sebanyak RM30 (warga tempatan) dan RM60 bagi warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, ujian pengesanan penyakit Covid-19 di pintu masuk antarabangsa dan
fasiliti KKM akan menggunakan teknik tindak balas berantai polimerase atau kit ujian pantas antigen mengikut kesesuaian semasa.

Katanya, ujian kit ujian pantas antibodi digunakan ke atas individu yang diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah pada hari ke-13, sebelum mereka dilepaskan dari perintah tersebut pada hari ke-14.

Tambahnya, beberapa kategori tertentu rakyat tempatan dikecualikan dengan yuran tersebut.

Mereka ialah ppegawai kerajaan yang memasuki Malaysia dari luar negara atas tugasan rasmi di luar negara dan hendaklah mengemukakan surat arahan rasmi berhubung perkara tersebut sebagai bukti.

Namun pengecualian itu tidak terpakai kepada ahli keluarga pegawai terbabit.

Orang Kurang Upaya (OKU) yang memasuki Malaysia dari luar negara dan hendaklah mengemukakan kad OKU yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pengecualian ini tidak terpakai kepada ahli keluarga OKU

Selain itu, pelajar warga negara, persendirian atau mempunyai penajaan yang memasuki Malaysia dari luar negara kali pertama dan perlu mengemukakan bukti pengajian. -MalaysiaGazette