Orang ramai memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga berikutan jangkitan koronavirus ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dataran Merdaka, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 27 JANUARI 2020

JOHOR BAHRU – Rakyat China yang berada di Malaysia memilih untuk berdiam diri kerana bimbang identiti mereka yang “sensitif” akan mengundang reaksi ketakutan daripada orang sekeliling.

China Press melaporkan, warganegara China memilih untuk tidak bersuara ketika bertemu orang lain kerana bimbang dialek atau bahasa mereka yang berlainan dengan kaum Cina Malaysia akan mendedahkan identiti mereka.

Seorang rakyat China, Qu Haiye yang sedang melawat keluarga isterinya di Malaysia sempena dengan Tahun Baharu Cina memilih mengurangkan percakapan kerana orang ramai mungkin kebimbangan jika mengetahui dia berasal dari China.

“Dengan merebaknya wabak Wuhan kebelakangan ini, ramai orang yang berasa bimbang dengan kehadiran warganegara China.

“Saya memilih tidak banyak bercakap untuk mengurangkan orang ketakutan, saya juga takut menjadi sasaran,” katanya yang akan kembali ke Tianjin pada 16 Februari melalui penerbangan.

Haiye yang tiba di Malaysia pada 24 Januari lalu berkata, semua penumpang yang menaiki pesawat sama dari China ke Malaysia telah memakai topeng mulut.

“Saya sendiri hanya membuka topeng mulut semasa menjamu selera,” katanya yang berharap keadaan wabak akan bertambah baik dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette