Mohd. Shafie Apdal, Semporna, Parlimen, calon
Mohd Shafie Apdal

SEMPORNA – Parti Warisan Sabah (Warisan) akan membantu memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Mei depan, kata Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bagi berdepan PRK itu, Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah berkata PH perlu bersiap sedia dan menguatkan jentera parti untuk kempen nanti.

“Kita akan pastikan kemenangan (PRK) Sandakan dan saya yakin rakyat akan mengundi kita, yang penting tunjukkan nilai baik jangan ada perebutan atau perbalahan kuasa,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan mesyuarat perwakilan Warisan bahagian Semporna di sini, hari ini.

Katanya, beliau akan ke Kuala Lumpur pada Isnin ini dan bertemu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bagi membincangkan berhubung PRK tersebut.

“Itu kerusi DAP dan mereka akan putuskan calon untuk diletakkan,” katanya.

Pada 28 Mac lalu, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah dan Anggota Parlimen Sandakan, Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Sementara itu, berhubung pelantikan Datuk Hajiji Mohd Noor sebagai Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, menurut Shafie keputusan itu adalah hak Bersatu dan semua pihak perlu hormat dan menerima dengan baik.

Beliau berkata Warisan sudah bekerjasama dengan Bersatu di peringkat pusat dan itu penting bagi pembangunan bersama.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie mengingatkan anggota parti belajar daripada kejatuhan dan kesilapan parti terdahulu USNO, Berjaya, PBS dan Umno.

“Warisan perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni dan positif, banyak berkhidmat kepada masyarakat jangan mahu rebut jawatan atau cari projek dan pangkat sahaja.

“Lihat parti dahulu belajar dengan kesilapan mereka, nilai apa yang kita belajar dari parti itu semuanya rakus dengan pangkat dan darjat,” katanya lagi.

Anggota Parlimen Semporna merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Senallang itu berkata, Warisan masih muda usianya dan anggota parti perlu tahu peranan dan perlu perkayakan parti dengan nilai-nilai baik sekali gus menolak perbalahan,perebutan serta hawa nafsu rakus. – MalaysiaGazette