Gambar hiasan

PETALING JAYA – Apa yang akan anda lakukan sekiranya seorang kenalan atau saudara-mara menghantar pesanan WhatsApp dan meminjam duit?

Berhati-hati jika anda menerima pesanan sedemikian kerana ia mungkin merupakan angkara penipu yang berjaya menceroboh ke dalam akaun WhatsApp kenalan anda.

Dalam satu kes yang dilaporkan Sinchew Daily, mangsa telah menerima pesanan daripada akaun WhatsApp kakaknya yang meminjam RM5,000.

Mangsa menyediakan duit itu kerana menyangka kakaknya memerlukan pertolongan kecemasan.

Tetapi tindakan penipu yang mendesak penghantaran wang secara segera menyebabkan mangsa tidak senang hati dan menelefon kakaknya sekali gus menggagalkan rancangan penipuan.

Kakak tersebut menafikan pernah menghantar WhatsApp kepada mangsa malahan apabila cuba menghantar pesanan, mesej berkenaan juga dipadam oleh penggodam.

Menurut mangsa, akaun WhatsApp kakaknya telah diceroboh dan digunakan oleh penipu melalui komputer.

Penipu dilaporkan menggunakan fungsi “arkib” supaya mesej yang dihantar melalui komputer tidak tertera pada paparan telefon.

Pakar keselamatan siber, CF Fong ketika dihubungi berkata, pencerobohan WhatsApp mungkin disebabkan dua keadaan iaitu mangsa tidak log keluar selepas menghubungkan WhatsApp kepada komputer dan akhirnya disalahgunakan oleh penipu.

Dalam keadaan kedua pula, telefon mangsa mungkin telah diceroboh oleh virus Trojan sehingga penipu boleh mengawal aplikasi WhatsApp mangsa secara jarak jauh.

Katanya kepada Sinchew Daily, pengguna perlu cuba elak menggunakan wifi di tempat awam dan elak menekan link yang mencurigakan.

Tambahnya, sekiranya mengakses WhatsApp melalui komputer, pengguna harus log keluar selepas menggunakan. – MalaysiaGazette