Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) berharap kerajaan Perikatan Nasional dapat memperhalusi cadangan-cadangan belanjawan yang dikemukakan oleh rakyat, melalui saluran Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan pelantikan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh sebagai Pengerusi baharu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Pelantikan diluluskan tanpa bahas selepas usul itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan pada sesi petang persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin ketika membentangkan usul itu berkata, Kah Woh dipilih menggantikan Datuk Noraini Ahmad sebagai Pengerusi PAC.

“Mengikuti peruntukan Mesyuarat 77 (2), Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, saya mengemukakan usul bahawa Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh dipilih bagi menggantikan Datuk Dr Noraini Ahmad sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan Datuk Azizah Mohamad Dun sebagai Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara,” katanya dihadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Jawatan Pengerusi PAC kosong apabila Norani dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Mac lalu.

Noraini dilantik sebagai Pengerusi PAC pada 12 April tahun lalu sebagai memenuhi janji ke-16 buku manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Manifesto PH menetapkan jawatan itu perlu disandang pembangkang bagi tujuan semak dan imbang dalam kerajaan.

Perikatan Nasional (PN) setakat ini belum mempunyai dasar berhubung penentuan individu yang akan mengisi jawatan Pengerusi PAC sama ada dari kerajaan atau pembangkang. – MalaysiaGazette