Pelajar, Yaashwin Sarawanan sedang diuji Guru Besar SMK Bandar Tun Hussein Onn 2, Ahmad Ezzat Ismail (kanan) sambil diperhatikan Pengerusi Malaysia Mental Literacy Movement, Tun Ling Liong Sik (tengah) pada sidang media bersama Manusia Kalkulator Malaysia di Universiti Tunku Abdul Rahman, Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 29 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Gelaran ‘Manusia Kalkulator’ yang telah diberikan oleh umum kepada Yaashwin Sarawanan sebenarnya lebih daripada tepat malah disifatkan jauh lebih hebat daripada alat kiraan itu sendiri.

Kehebatan pelajar berusia 15 tahun itu  mengira dengan pantas tanpa menggunakan kalkulator ternyata mencetuskan rasa teruja dan kagum Pengerusi Pergerakan Literasi Minda Malaysia (MMLM), Tun Dr Ling Liong Sik.

“Hakikatnya ini sungguh luar biasa. Yaashwin ini sungguh mengkagumkan. Bakat yang ada pada dirinya bukan sahaja luar biasa sebaliknya akan membuat sesiapa sahaja ternganga dan teruja.

“Saya sendiri teruja dengan bakat mampu mengira dengan lebih cepat daripada kalkulator. Itu sesuatu yang sangat menghairankan dan sungguh mengasyikan juga melihatnya lebih hebat daripada alat kiraan. Hebat sungguh.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya bangga memiliki bakat seperti ini, malah saya mohon kepada semua untuk memberinya sokongan tidak berbelah bahagi bagi dirinya mencapai kemenangan sekaligus mengharumkan nama negara di peringkat dunia.

“Sokongan anda ini sebenarnya motivasi kepada diri beliau supaya berterusan berjaya sehingga ke satu kedudukan hebat selepas ini, untuk kami khasnya di MMLM. Kita ucapkan selamat maju jaya, kami akan sentiasa berbangga serta menyokong kamu sehingga bila-bila,” katanya.

MGF29032019_PC Human Calculator_06
Pengerusi Malaysia Mental Literacy Movement, Tun Ling Liong Sik bercakap pada sidang media bersama Manusia Kalkulator Malaysia di Universiti Tunku Abdul Rahman, Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 29 MAC 2019

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Yaashwin bersama kedua ibu bapanya, Sarawanan dan Kamala Rani selain daripada dihadiri guru sekolahnya dari SMK Bandar Tun Hussein Onn sebentar tadi.

Yaashwin juga dijangka menyertai atau sekurang-kurangnya hadir dalam pertandingan ‘Mind Competitions’ sempena Festival Minda Malaysia oleh MMLM di UTAR Kampus Sungai Long pada 13 April ini.

Remaja ini mengangkat nama negara apabila layak ke pusingan akhir Asia’s Got Talent selain satu lagi pasukan yang menggelar diri mereka Nama.

Festival Minda Malaysia yang sudah memasuki edisi ke-15 sebenarnya bertujuan menyerlahkan potensi kuasa minda mengajurkan pertandingan ‘Minda’ itu mampu mengasah peta minda dan kiraan menggunakan mental sahaja.

Hadiah berjumlah RM60,000 telah disediakan untuk dimenangi para peserta dari beberapa kategori.

Liong Sik yang juga Canselor UTAR berkata selain pertandingan minda,  pengisian program adalah ceramah, bengkel dan permainan kuasa minda berkaitan aspek pemahaman minda manusia yang bermatlamat meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat. –MalaysiaGazette