Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat negara ini menghayati dan mengamalkan Rukun Negara dalam setiap kehidupan seharian.

Titah baginda, Rukun Negara bukan sekadar dijulang secara simbolik menerusi bacaan pada saban tahun menyambut Hari Kebangsaan.

“Sebaliknya, roh dan semangat Rukun Negara itu hendaklah dihayati serta diamalkan dalam setiap kehidupan kita seharian.

“Sesungguhnya keharmonian dan kerukunan hidup dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum adalah tunjang kepada kekuatan negara.

“Beta berkeyakinan, jika semangat yang terkandung dalam Rukun Negara terus dihayati dan tersemat kukuh di setiap jiwa rakyat Malaysia, insha-Allah negara kita akan terus kekal, aman dan damai serta akan menjadi sebuah negara yang kukuh dan makmur dengan rakyat yang bersatu padu,” titah baginda ketika menyampaikan titah diraja sempena Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara dan Hari Kebangsaan 2020 di Dataran Pahlawan Putrajaya, hari ini.

Turut berkenan berangkat mencemar duli, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan Menteri Kabinet dalam majlis yang dilangsungkan di Dewan Dataran Pahlawan Putrajaya.

Baginda dan Raja Permaisuri Agong kemudian menyertai atur cara serba ringkas, iaitu menonton siaran langsung program kemerdekaan yang disiarkan menerusi stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Titah baginda lagi, 50 tahun yang lalu Rukun Negara yang menjadi ideologi kebangsaan Malaysia telah dimashyurkan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Keempat pada tanggal 31 Ogos 1970.

Mengimbau kembali sejarah 50 tahun lalu, baginda bertitah, peristiwa hitam perbalahan antara kaum telah menyedarkan pemimpin negara akan perlunya satu formula untuk dijadikan pegangan ke arah membentuk penyatuan dan peraduan.

“Lantaran itu, lahirlah Rukun Negara yang telah dijadikan sebagai asas kepada perpaduan nasional dan pembentukan negara bangsa.

“Terkandunglah dalam setiap lima prinsip Rukun Negara yang menjadi formula keramat bagaimana rakyat berbilang bangsa, agama, budaya dan bahasa boleh mengatasi segala perbezaan serta kepelbagaian tersebut, seterusnya dapat hidup secara rukun dan damai,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah, Rukun Negara menuntut sebuah negara bangsa yang dibentuk atas keteguhan pegangan agama yang kukuh, manakala rakyat pula dituntut untuk mencurahkan taat setia kepada raja yang menjadi payung dan lambang kepada kedaulatan negara, Perlembagaan Persekutuan termasuk semua perkara dan hak keistimewaan yang telah disepakati sebelum ini perlu dihoirmati dan dipertahankan.

Selanjutnya, titah baginda lagi, keadilan di negara ini adalah terikat kepada undang-undang yang wajib dihormati serta dipatuhi oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira pangkat dan darjat.

“Rukun Negara juga menuntut agar perpaduan rakyat berbilang kaum dibentuk menerusi budaya sopan santun serta hormat menghormati dan diselami pula dengan nilai-nilai yang murni.

“Pada hemat beta, prinsip teras Rukun Negara adalah bersifat sejagat yang merentasi nilai murni semua bangsa dan agama, yang berupaya menyuluh laluan rakyat Malaysia dalam amalan hidup sebagai sebuah negara yang merdeka.

“Oleh itu, prinsip berkenaan seharusnya menjadi panduan dan amalan oleh semua pihak termasuk semua pemimpin negara, kerajaan dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” titah baginda.

Baginda turut merafak kesyukuran kepada Allah kerana bersama raja permaisuri dapat berangkat dalam suasana norma baru menyambut Hari Kemerdekaan 2020 dan sempena ulang tahun ke-50 Rukun Negara.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Ulang Tahun ke 50 Rukun Negara, baginda mengajak rakyat untuk menghargai serta menjaga kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi negara.

“Dalam semangat kita menyambut Hari Kebangsaan tahun ini dengan tema Malaysia Prihatin, beta ingin merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan beta yang amat prihatin dalam usaha mengukuhkan semula ekonomi dan kewangan negara, di samping terus membela kebajikan rakyat sepanjang negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Beta yakin pelbagai program dan inisiatif yang telah dan bakal diambil oleh kerajaan beta bakal membawa semula negara melayari kejayaan yang dimpikan.

“Beta ingin turut menyampaikan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang juga telah menzahirkan ketahanan dan kerpihatinan yang cukup tinggi,” titah baginda. – MalaysiaGazette