Kenderaan yang dipercayai membawa Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon tiba untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah dalam satu pertemuan khas di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 29 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Media dimaklumkan kenderaan yang membawa Yang Dipertua kedua-dua dewan itu memasuki Istana Negara melalui Pintu 1.

Namun kehadiran mereka gagal dirakam lensa media yang menunggu di Pintu 2 sejak awal pagi tadi.

Sementara di Pintu 2 Istana Negara, kenderaan jenis Toyota berwarna hitam dipercayai membawa Timbalan Speaker Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad tiba pada pukul 10.37 pagi.

Difahamkan kenderaan yang membawa Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon juga telah tiba di Istana Negara.

Kehadiran Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said bagaimanapun belum dapat disahkan.

Terdahulu media melaporkan Rais dan Azhar mendapat jemputan dari Istana Negara dan pertemuan pada pukul 11 pagi itu adalah bagi membincangkan mengenai persidangan Parlimen.

Difahamkan ia selepas Rais dan Azhar pada 25 Jun lalu mencadangkan persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos ataupun minggu pertama September tahun ini.

Berdasarkan kenyataan yang dipertua kedua-dua dewan itu, beberapa persiapan daripada aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan bekalan perlu diperkemaskan terlebih dahulu untuk memastikan persidangan secara hibrid itu berjalan lancar.

Bagaimanapun pada Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan belum memutuskan kaedah Parlimen yang akan bersidang secara fizikal atau hibrid.

Kata Takiyuddin, kaedah hibrid ialah pilihan sekiranya Parlimen tidak boleh dilakukan secara fizikal.

Jelasnya lagi, kaedah hibrid ialah sebahagiannya hadir secara fizikal dalam jumlah tertentu, manakala yang selebihnya hadir secara maya.

Untuk rekod, pada 16 Jun lalu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin. – MalaysiaGazette