Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Dr. K. Nagulendran bercakap pada sidang media Intensif Hijau Malaysia di Green Tech Malaysia, Bangi, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 31 MEI 2019.

BANGI- Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim hari ini mengesahkan menterinya, Yeo Bee Yin akan ke Australia bagi membincangkan mengenai sisa buangan Lynas di Gebeng, Kuantan.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Alam Sekitarnya, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, pertemuan itu akan memfokuskan kepada isu Lynas dan pembuangan sisa daripada syarikat itu.

“Menteri bercadang hendak turun ke Australia untuk berjumpa dengan kerajaan di sana untuk berbincang bagi menguruskan sisa buangan di Gebeng.

“Pihak kementerian tunggu keputusan daripada Australia tidak lama lagi,” katanya kepada media selepas mengiringi Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahya dalam program Inisiatif Hijau di GreenTech Malaysia, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad  membenarkan kilang memproses nadir bumi Australia, Lynas Corp untuk terus beroperasi.

Pengumuman oleh perdana menteri itu menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai AS$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng, Pahang selepas pembaharuan lesen operasinya digantung sementara.

“Ya, kami akan perbaharui lesen Lynas,” katanya pada dialog dan sidang media dengan Kelab Koresponden Asing Jepun (FCCJ) di Jepun semalam.

Dalam pada itu, Dr Nagulendran menjelaskan kandungan air di kawasan sekitar kilang Lynas di Gebeng, Kuantan tidak mempunyai sebarang logam berat.

Ia berdasarkan hasil laporan kedua-dua ujikaji yang dibuat oleh  kementerian dan Lynas.

“Kami (Kementerian) masih teruskan pemantauan dan ia bukanlah datang daripada Lynas, itu yang kita nak katakan.

“Boleh dikatakan perkara itu tidak datang daripada Lynas sebab ini hanya satu kes sahaja.

“Ia sudah kembali normal dah kita percaya ia cuma satu insiden sahaja yang disebabkan gangguan tanah daripada kawasan lain,” katanya.

Dr Nagulendran diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar bahawa air bawah tanah di sekitar kilang Lynas tidak lagi tercemar oleh logam berat.

Menurut Xavier, kawasan itu menunjukkan bacaan negatif logam berat dan tidak menemui sebarang pencemaran di kawasan berkenaan. -MalaysiaGazette