Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergambar kenangan bersama para penaja pada Majlis Penyampaian Tajaan dan Tandatangan Memorandum bersama Rakan Strategik Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN) di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIRE SALIM, 15 APRIL 2109

PUTRAJAYA – Sebanyak 73 peratus daripada 7,047 orang gelandangan yang menginap di Anjung Singgah telah berjaya dibantu mendapatkan pekerjaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, sehingga Januari tahun ini, seramai 62,551 golongan sasar telah mendapat manfaat daripada penubuhan Anjung Kasih di seluruh negara.

“Kehadiran pelbagai syarikat korporat, GLC, institut pengajian tinggi, agensi kerajaan, institusi kewangan dan NGO pada hari ini membuktikan keprihatinan kita terhadap masalah yang dihadapi oleh mereka yang kurang berkemampuan.

“Saya menyeru kepada semua pihak khususnya syarikat korporat, NGP dan lain-lain yang berkemampuan untuk menyumbang kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi melaksanakan program-program khusus untuk golongan yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Tajaan dan Tandatangan Memorandum di sini hari ini.

Menurut Wan Azizah, YKN yang ditubuhkan pada tahun 1981 telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan program meliputi bidang kebajikan, kesihatan serta pelajaran.

Katanya, YKN menyediakan perkhidmatan seperti lima buah Anjung Singgah iaitu pusat khidmat sosial bagi menangani masalah gelandangan.

Selain itu tambah beliau, YKN turut menyediakan 10 buah Anjung Kasih berupa penginapan sementara bagi keluarga yang mengiringi pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital serta enam buah pusat rawatan dialisis yang berkonsepkan mesra keluarga.

Dalam pada itu, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberitahu, YKN juga sedang dalam perancangan untuk menubuhkan pusat sehenti gabungan komponen sosial seperti Anjung Kasih, Anjung Singgah, Food Bank dan lain-lain yang bercirikan elemen kebajikan ditapak tanah kebajikan Universiti Malaysia Sabah.

Ujarnya, ia merupakan projek kesinambungan daripada projek kerjasama YKN dialisis dengan universiti berkenaan. – MalaysiaGazette