Gelagat calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi selepas beliau diumumkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih baharu di Pusat Penjumlahan Undi Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Dewan Seri Cempaka MPKJ, Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MAC 2019.

KAJANG – Calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi secara rasminya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dengan majoriti 1,914 undi.

Kemenangan calon BN itu diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohd Sayuthi Bakar pada jam 9.19 malam di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, di Saujana Impian di sini.

Zakaria, memperoleh 19,780 undi menewaskan tiga calon lain termasuk Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17, 866 undi.

Sementara itu calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul memperoleh 847 undi manakala calon bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang yang menggunakan simbol telefon mendapat 725 undi.

Dengan kemenangan ini BN berjaya merampas semula kerusi dari PH walaupun jumlah undi berkurangan sebanyak 7,050 pada PRU14.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei tahun lepas, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14.

Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan kematian penyandangnya dari PH, Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.– MalaysiaGazette