Zamani akhirnya dapat bersanding di pelamin pada usia mencecah 50 tahun.

KUALA LUMPUR – Vokalis Slam, Zamani seperti bermimpi apabila  diberi kesempatan bersanding di atas pelamin pada usia menghampiri 50 tahun .

Zamani bersanding bersama isterinya, Nur Juliana Abdul Rani di Mercure Selangor, Selayang semalam.

Penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu terharu dan seperti tidak percaya majlis bersejarah dalam hidupnya itu benar-benar menjadi realiti.

“Saya bersyukur dan amat berterima kasih kepada perunding perkahwinan Wedding Studio yang menaja sepenuhnya majlis ini.

“Sewaktu berada di atas pelamin ketika bersanding, saya rasa seolah-olah seperti bermimpi.

“Perancangan ini dibuat sebelum saya menunaikan umrah pada hujung Oktober lalu. Tarikhnya memang dah ditetapkan dari awal iaitu 1 Januari 2020,” katanya seperti dilaporkan portal Harian Metro.

Zamani, 49, dan Nur Juliana diijabkabul pada 20 September lalu. – MalaysiaGazette