Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed bercakap dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 01 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Addy Kanna atau nama sebenar Zaidy Kana Piah, Alvin Goh dan dua anggota polis yang ditahan berkaitan kes pusat panggilan judi dalam talian dan sindiket Macau Scam dikenakan perintah tahanan selama dua tahun masing-masing di tiga Pusat Pemulihan Khas (PPK).

Mereka akan ditahan di PPK Simpang Renggam, Johor; Pokok Sena, Kedah; dan Bentong Pahang.

Arahan itu dikeluarkan pada 25 dan 26 November lalu, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Menurut beliau, seorang lagi suspek iaitu lelaki warga China bernama Chen De Wei, 31, dipercayai mengetuai sindiket perjudian itu turut berjaya ditangkap dan ditahan selama 38 hari bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Selain itu, katanya, enam lagi suspek iaitu lima warga China dan seorang warga Malaysia pula masih dalam tahanan POCA di bawah Seksyen 4(2)(a) selama 38 hari sehingga 8 Januari 2021.

“Dia bersama enam lagi suspek berkenaan masih ditahan bawa POCA selama 38 hari lagi dan belum diberi keputusan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah( LPJ) Kementerian Dalam Negeri.

“Apabila tamat tempoh nanti kita akan hadapkan mereka ke Lembaga Pencegahan Jenayah 8 Januari ini nanti untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Huzir, De Wei yang merupakan dalang utama menghubungkan antara sindiket Malaysia dan China merupakan antara 130 individu yang dicekup dalam operasi khas besar-besaran Bukit Aman pada 15 hingga 20 Oktober lalu.

Katanya, dia dan enam lelaki itu ditangkap di sebuah premis di Mount Kiara semasa operasi khas Macau Scam itu.

“Suspek adalah ketua sindiket Macau Scam dan juga memainkan peranan sebagai penghubung antara sindiket Malaysia (Addy Kanna) dan juga China.

“Pemeriksaan lanjut polis mendapati suspek juga (De Wei) tersenarai sebagai individu sangat dikehendaki oleh China atas kesalahan Macau Scam,” ujarnya lagi.

Susulan tangkapan berkenaan, Huzir memberitahu bahawa polis menerusi Op Dadu Centre melakukan beberapa siri serbuan susulan dan berjaya menahan 130 individu manakala 87 daripadanya dikenakan tindakan reman selama 38 hari di bawah Seksyen 4(2)(a) POCA. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. “Pemeriksaan lanjut polis mendapati suspek juga (De Wei) tersenarai sebagai individu sangat dikehendaki oleh China atas kesalahan Macau Scam,” ujarnya lagi.”

    mungkin lepas dikenanakan hukuman di negara ini hantar di balik ka china untuk menghadapi tuduhan disana..mungkin dia boleh hidup lagi lama disana..

Comments are closed.