Gambar hiasan

KABULĀ  – Pentadbiran interim Afghanistan membaiki 70 buah pesawat dan helikopter yang dimusnahkan tentera Amerika Syarikat (AS) sebelum mereka meninggalkan negara itu pada Ogos tahun lalu.

Aset ketenteraan itu diberikan AS dan sekutunya kepada kerajaan terdahulu pimpinan Ashraf Ghani, kata jurucakap Kementerian Pertahanan Afghanistan, Inayatullah Khawarizmi kepada agensi berita, Anadolu seperti dipetik The Express Tribune.

Beliau menambah, semua aset itu kini beroperasi dan digunakan tentera udara negara tersebut.

Tentera AS merosakkan pesawat dan helikopter terbabit serta pelbagai jenis kenderaan tentera sebelum meninggalkan Afghanistan pada 31 Ogos 2021.

“Kami tidak mempunyai satu pesawat yang beroperasi apabila kami memerintah,” katanya.

Pentadbiran interim Taliban mula membina semula tentera udara, kata Khawarizmi sambil menambah, lebih 70 pesawat dan helikopter musnah dibaiki dan beroperasi setakat ini menerusi kaedah dan sokongan daripada juruteknik negara itu.

“Pesawat tentera yang rosak dan tidak digunakan masih lagi dibaiki,” katanya.

Kira-kira 600 juruterbang dan juruteknik bertugas ketika Ghani mentadbir negara itu dan sebahagian besar mereka meninggalkan Afghanistan pada Ogos tahun lalu.

Berikutan permintaan Taliban, kira-kira 40 juruterbang dan juruteknik pulang semula ke Afghanistan untuk memulakan kerja-kerja pembaikan itu, jelasnya.

“Kami membekalkan alat ganti yang diperlukan untuk membaiki pesawat dan helikopter yang diperoleh daripada pesawat atau helikopter yang rosak teruk dan tidak boleh dibaiki kerana kami tidak dapat membeli alat ganti.

“Semua kerja ini dilakukan oleh kami sendiri,” ujarnya sambil menambah negara itu tidak mempunyai kedudukan kewangan yang baik untuk membeli pesawat dan helikopter baharu.

Semasa pemerintahan Ghani, tentera udara afghanistan mempunyai 183 buah pesawat dan helikopter, kira-kira 70 buah aset tersebut dipindahkan ke negara jiran, Uzbekistan dan Tajikistan, oleh tentera Afghanistan ketika Taliban menguasai daerah di negara itu satu demi satu dan terakhir ibu negara, Kabul pada pertengahan Ogos 2021.

Sejak pembentukan pentadbiran interim Taliban, Kabul telah minta kedua-dua negara memulangkan pesawat dan helikopter itu namun permintaannya tidak diendahkan.

Bagaimanapun, Khawarizmi berkata, rundingan berhubung isu tersebut masih berjalan ‘kerana pesawat tersebut milik rakyat Afghanistan dan mereka perlu memulangkannya’. – Agensi