Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – MCA menetapkan 30 November hingga 1 Disember depan sebagai tarikh baharu Mesyuarat Agung Tahunan  parti itu.

Perubahan itu dilakukan berikutan tarikh asal yang ditetapkan sebelum ini bertembung dengan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon dalam kenyataan hari ini berkata, AGM itu akan bermula pada malam 30 November hingga 1 Disember.

Manakala mesyuarat agung bagi Pemuda serta Wanita MCA pula pada 30 November.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRK Parlimen Tanjung Piai pada 2 November dan pengundian awal pada 12 November.

Hari pengundian pula pada 16 November ini.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafiq, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, 21 September lalu. – MalaysiaGazette