Nga Kor Ming

SERI KEMBANGAN – Air Selangor akan mengadakan perbincangan dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) mengenai migrasi akaun meter pukal kepada akaun bekalan air meter individu untuk menyelesaikan masalah pemotongan bekalan air secara keseluruhan di perumahan berstrata di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap unit rumah berstrata mempunyai meter individu masing-masing bagi memastikan masalah pemotongan bekalan air akibat kegagalan bayaran penyelenggaraan tidak berulang lagi.

“Langkah itu adalah bagi memastikan hanya penghuni yang tidak melunaskan bayaran sahaja akan berdepan dengan tindakan pemotongan bekalan itu (meter individu).

“Masalah tersebut adalah susulan tindakan syarikat Air Selangor untuk memindahkan pembayaran meter secara pukal kepada pembayaran meter individu.

“Oleh itu, Air Selangor akan berbincang dengan JMB supaya setiap unit itu pada masa akan datang mempunyai meter unit dan mereka akan bertanggungjawab untuk meter masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Pasar Bazar Rakyat hari ini.

Kor Ming diminta mengulas mengenai isu pemotongan bekalan air oleh Air Selangor di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Tasik Selatan baru-baru ini.

Para penduduk PPR itu menyifatkan tindakan syarikat bekalan air itu berlaku tidak adil kepada mereka yang membayar tanpa sebarang tunggakan selama ini terpaksa menerima tempias disebabkan sebahagian lagi penduduk yang gagal membayar.-MalaysiaGazette