KUALA LUMPUR – Al-Qaeda dan Daesh merupakan dua kumpulan pengganas utama yang masih menjadi ancaman global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan berkata, sehingga kini usaha operasi Counter Terrorism belum berjaya menangkis ancaman tersebut secara sepenuhnya.

“Pada masa ini, trend dan perkembangan semasa isu dan ancaman keganasan di Malaysia dan luar negara dapat memberi implikasi langsung ke atas keselamatan negara,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (High Level Committee – HLC) Kawalan Keganasan (JPTKK) Bil. 2/2023.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan melalui jawatankuasa tersebut memantau situasi terkini dengan mengemaskini maklumat individu dan entiti yang tersenarai oleh negara-negara anggota melalui platform Jawatankuasa 1267 yang ditubuhkan di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Malaysia turut terlibat secara aktif dalam menjalani Penilaian Bersama (Mutual Evaluation) 2024-2025 yang diterajui oleh Financial Action Task Force (FATF), sebuah badan antarabangsa yang diwujudkan bagi tujuan menilai tahap pematuhan dan
keberkesanan negara-negara anggota terhadap piawaian antarabangsa dalam memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan,” jelasnya.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang berniat mengancam keselamatan negara.

Terdahulu beliau berkata, langkah pembendungan aktiviti yang menjurus kepada keganasan dalam kalangan masyarakat antara yang dibangkitkan di dalam mesyuarat pada hari ini.

Ujarnya, langkah pembendungan merangkumi aktiviti pemantauan berterusan terhadap penggunaan teknologi komunikasi seperti media sosial dan permainan video (gaming) yang berpotensi dijadikan sebagai medium menyebarkan propaganda keganasan.

“Keadaan geopolitik terkini juga dilihat mampu mempengaruhi perluasan aktiviti-aktiviti kegiatan keganasan dan berpotensi untuk mengeksploitasi isu-isu semasa yang sensitif terutamanya terhadap umat Islam,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat pada hari ini turut membincangkan perkembangaan semasa di Gaza dan  sokongan terhadap rakyat Palestin. – MalaysiaGazette