KUALA LUMPUR – AmBank Group menawarkan penangguhan sementara atau penstrukturan semula ansuran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak 2019 novel koronavirus (2019-nCoV).

Pelanggan yang terjejas boleh menghubungi pihak bank untuk dinilai dan dipertimbangkan penangguhan sementara atau penstrukturan semula ansuran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, bank itu prihatin terhadap nasib pelanggan-pelanggannya, khususnya individu dan PKS yang terjejas akibat 2019-nCoV.

“AmBank komited untuk membantu mereka dalam saat-saat ini,” kata beliau.
Sementara itu, Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) pula menawarkan moratorium sementara sehingga enam bulan untuk bayaran ansuran bulanan ke atas pembiayaan tertentu kepada semua pelanggan dan kakitangan yang terjejas dengan wabak itu.

Skim tersebut terpakai untuk semua kemudahan pembiayaan kepada pelanggan individu dan perniagaan, berdasarkan merit setiap kes dan ditawarkan sehingga 31 Julai, 2020.

“Sebagai sebuah bank yang berteraskan Maqasid Shariah, kami akan meringankan beban pelanggan yang terjejas dengan pelbagai cara akibat ekonomi yang tidak menentu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Khairul Kamarudin. – MalaysiaGazette