Sebanyak 100,000 permohonan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari 25 kawasan Parlimen di Sabah, kata Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Audit Negara,  Tan Sri Ambrin Buang akan memberi kenyataan beliau berhubung dakwaan terdapat pindaan laporan berhubung skandal penyelewe­ngan dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya telah memanggil beliau untuk memberi keterangan di hadapan ahli PAC yang lain pada jam 11 pagi esok.

Kata Ronald, pada 5 Disember pula pihaknya akan memanggil Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad sebagai saksi dan selepas itu beberapa lagi saksi yang sudah dikenalpasti berhubung kes ini.

“Kita sudah panggil Ambrin dan beliau akan beri keterangan penuh berhubung dakwaan pindaan laporan 1MDB esok.

“PAC juga akan merekodkan keterangan daripada pihak lain termasuk Dr Madinah lusa dan beberapa hari lagi. Kita akan maklumkan nanti perkembangan kes kelak,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Baru-baru ini, membuat pendedahan laporan akhir pengauditan 1MDB telah dipinda atas arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Madinah memberitahu, laporan itu ada menyebut kehadiran Low Taek Jho atau Jho Low dalam salah satu mesyua­rat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, namun Najib menerusi Ketua Setiausaha Sulit beliau, Tan Sri Shukry Salleh mengarahkan perenggan itu digugurkan atas alasan ia sensitif dan bagi mengelak fakta diputarbelitkan pihak pembangkang.

Ambrin sebelum ini sudah tampil menafikan perkara tersebut dan menyatakan kerjasama penuh berhubung isu itu kepada pihak berwajib.

Pada bulan Oktober, Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh membuat dakwaan bahawa laporan audit mengenai 1MDB dipinda namun ia dinafikan Ambrin sebelum Madinah tampil sekali lagi membuat kenyataan sama.

Dalam perkara berbangkit lain, Ronald turut mengesahkan PAC akan memanggil bekas Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim apabila kes siasatan itu di buka dalam masa terdekat. –MalaysiaGazette