Wee Ka Siong

JOHOR BAHRU – Dewan Rakyat belum dibubar, tetapi bunyi gendang perang telah pun kedengaran dari Ayer Hitam, kerusi yang diisytiharkan Sinchew Daily sebagai kawasan paling sengit di Johor.

Kerusi dengan 57.67 peratus pengundi Melayu, 38.16 peratus pengundi Cina dan 4.17 peratus pengundi India dan lain-lain kaum itu merupakan antara kubu paling kuat MCA sebelum tsunami pembangkang yang menyebabkan parti itu kehilangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng buat pertama kalinya pada pilihan raya lalu.

Dalam pilihan raya itu, sokongan pengundi Melayu kepada Datuk Seri Wee Ka Siong, Ahli Parlimen Ayer Hitam, mencecah hampir 80 peratus manakala sokongan pengundi Cina menjunam ke tahap 30 peratus.

Untuk Pilihan Raya Umum Ke-14, MCA berdepan misi untuk mempertahankan Ayer Hitam dan merampas semula Yong Peng.

Ia bukan misi senang kerana DAP telah menjadikan Ayer Hitam sebagai barisan hadapan dalam usaha pembangkang menawan Putrajaya.

DAP telah mengumumkan secara rasmi bahawa Liew Chin Tong yang pernah mengalahkan dua timbalan menteri, Datuk Chia Kwang Chye ( Gerakan; Bukit Bendera, Pulau Pinang) dan Datuk Hou Kok Chung (MCA; Kluang, Johor) untuk berdepan Ka Siong di Ayer Hitam.

Selain mengharapkan lebih banyak sokongan pengundi Cina, Pakatan Harapan mengharapkan sokongan pengundi Melayu untuk menumpaskan Barisan Nasional (BN) di Ayer Hitam.

“DAP menjangka bahawa Ayer Hitam dapat dikuasai jika sokongan pengundi Cina melompat ke tahap 85 peratus, mendapat sokongan 30 peratus pengundi Melayu dan 50 peratus pengundi India.”

Walau bagaimanapun, Pas yang pernah bertanding di Ayer Hitam juga berhasrat meletak calon di kerusi Parlimen tersebut, keadaan yang bakal menipiskan peluang DAP di situ.

“Walaupun tidak berpeluang untuk menang, tetapi kemunculan calon Pas akan memecah undi kepada pembangkang, mengurangkan undi yang berpotensi dirai Pakatan Harapan di Ayer Hitam.”

Dalam pada itu, MCA Ayer Hitam dilaporkan bersemangat tinggi, malahan bersedia untuk menawan semula DUN Yong Peng.

Hubungan rapat antara Ka Siong dengan calon Yong Peng, Ling Tian Soon, pemimpin muda dan Ketua Bahagian Ayer Hitam, akan memberi kekuatan kepada MCA.

“Gandingan ini aktif di kawasan mereka selama ini, pasukan mereka juga berkhidmat secara ikhlas di Ayer Hitam.

” Mereka melakukan semua yang patut dilakukan dan menghadiri semua aktiviti yang patut dihadiri,” demikian mengikut analisis Sinchew Daily. – theRakyat