Majlis Perbandaran Bangkok

BANGKOK – Pesawat dron atau helikopter kecil tanpa juruterbang tidak lagi dijadikan sebagai alat permainan sahaja dan kini fungsinya diperluaskan untuk memudahkan urusan orang ramai.

Bagi Majlis Perbandaran Bangkok di Thailand, sebanyak enam dron digunakan bagi membantu mengurangkan masalah pencemaran udara yang tinggi di negara itu dengan membuat semburan air di sekitar pusat bandar.

Akibat pencemaran udara yang teruk, kerajaan Thailand terpaksa menutup lebih 400 sekolah di ibu negaranya sepanjang minggu ini.

Malah Gabenor Bangkok, Aswin Kwanmuan telah mengisytiharkan bandar itu sebagai ‘zon kawalan pencemaran’ bagi membolehkan langkah-langkah lebih kukuh diambil bagi membendung pencemaran udara lebih berkesan.

Antara langkah itu ialah penutupan jalan, had ekzos diesel, aktiviti pembakaran luaran dan pembinaan.

Aswin Kwanmuan melihat dron bukan penyelesaian untuk jangka panjang kepada masalah pencemaran di ibu kota Thailand itu namun mengakui ia dapat membantu pihaknya mengatasi krisis udara itu.

“Mereka yang berpengetahuan tentang isu ini tidak memberikan pandangan kepada orang lain, katakan kepada saya, saya yang bekerja dalam isu itu, sila beri saya nasihat.

“Adakah saya tahu segala-galanya, tidak, saya tidak tahu, kerana saya tidak tahu apa-apa, itulah sebabnya saya akan mengadakan mesyuarat,” katanya dalam satu sidang media, di Bangkok, hari ini.

Bangkok diselubungi jerebu selama beberapa minggu, menyebabkan kritikan media sosial ke atas reaksi lambat kerajaan dan memaksa penduduk menderma topeng muka di jalanan dan di atas pengangkutan awam.

Alasan kepada jerebu berterusan itu termasuk ekzos kenderaan, pembinaan yang tidak teratur, pembakaran tanaman dan pencemaran daripada kilang yang terperangkap di tengah bandar raya.

Pihak berkuasa menjalankan pembenihan awan untuk menghasilkan hujan, menyembur jejantas dengan air untuk memerangkap pencemar mikro malah meminta penduduk tidak membakar kayu gaharu dan kertas ketika sambutan Tahun Baru Cina.

Bangkok juga meningkatkan amaran kesihatan, mengarahkan semua 437 sekolah awam ditutup sehingga Jumaat ini, meletakkan kawasan seluas 1,500 kilometer persegi dari bandar raya sebagai ‘wilayah kawalan’. – MalaysiaGazette