Home Dunia Bangladesh akan terus bantu Rohingya

Bangladesh akan terus bantu Rohingya

Sebahagian kaum wanita Rohingya yang melarikan diri bersama anak-anak ke Bangladesh. foto Agensi

Dhaka- Kerajaan Bangladesh akan terus membantu hampir 1 juta etnik Rohingya yang memasuki negaranya bagi mengelak daripada diseksa di Myanmar.

Perdana Menterinya, Sheikh Hasina berkata, kerajaan akan meneruskan pelan untuk membina tempat pelindungan sementara kepada Rohingya di sebuah pulau dengan bantuan daripada agensi-agensi kemanusiaan antarabangsa yang telah menyatakan komitmen mereka.

Hasina berkata demikian di lapangan terbang Dhaka selepas pulang daripada New York untuk menghadiri sesi Perhimpunan Agung PBB.

Beliau menuduh Myanmar sengaja mewujudkan ketegangan di sempadan namun begitu Hasina tetap meminta petugas-petugas keselamatan Bangladesh untuk menguruskan krisis tersebut dengan teliti.

“Mereka buat seperti mahu berperang,” katanya.

Hasina sekali lagi menegaskan, perlindungan kepada Muslim Rohingya hanyalah bersifat sementara sehingga mereka pulang ke Myanmar.

Katanya, kerajaan akan terus memberi bantuan dari segi makanan dan tempat berlindung.

“Jika perlu kita makan sekali sehari dan bakinya kita kongsikan bersama mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette