foto Agensi

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) merancang untuk mengeluarkan garis panduan berkenaan cryptocurrency atau matawang digital menjelang akhir tahun ini, kata Gabenor, Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Katanya, matawang digital telah menarik banyak perhatian bank-bank pusat seluruh dunia ketika ini.

“Kami berharap menjelang akhir tahun ini, BNM mampu mengeluarkan beberapa garis panduan mengenai cryptocurrency terutamanya yang berkaitan dengan anti penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

“Kami mahu memastikan terdapat garis panduan yang jelas kepada sesiapa yang mahu menyertai sektor berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Global Pembangunan Institusi Kewangan di sini hari ini.

Matawang digital itu biasanya digunakan di luar institusi perbankan dan kerajaan sedia ada dan tukarannya dilakukan di Internet.

Setakat Jun 2017, jumlah keseluruhan pasaran cryptocurrency melebihi AS$100 bilion manakala jumlah harian adalah melebihi AS$6 bilion.

Dalam perkembangan berbeza, Muhammad berkata, pengukuhan ekonomi dan paras inflasi yang terkawal memberikan lebih fleksibiliti untuk mengubah dasar kadar faedah.

BNM mengekalkan kadar dasar semalamannya pada 3.0 peratus sejak Julai 2016.

“Mesyuarat dasar kewangan akan diadakan pada November ini dan kami akan melihat kepada semua data (pertumbuhan ekonomi dan inflasi) dan kita akan lihat di mana kedudukan sekarang.

“Adalah sangat penting untuk memastikan kadar faedah berada di paras yang boleh meningkatkan pertumbuhan dalam masa yang sama memastikan kadar inflasi terus terurus.- MalaysiaGazette