Benjamin Netanyahu

BAITULMAQDIS – Benjamin Netanyahu mengumumkan kemenangannya dalam pilihan raya ketiga Israel dalam masa kurang dari satu tahun.

Beliau hanya kurang satu kerusi untuk mendapat majoriti undi di Parlimen.

Ia merupakan kemenangan untuk Netanyahu, 70, selepas memperoleh undi yang tidak meyakinkan pada pilihan raya pada bulan April dan September.

Pemerhati politik berkata, kemenangan itu akan menjadi pengesahan bagi pertahanan kepada Netanyahu yang merupakan pemimpin Israel yang paling lama berkhidmat meskipun berdepan dengan perbicaraan rasuah.

Kemenangan itu juga akan membuka jalan untuk Netanyahu menunaikan janjinya untuk penempatan Yahudi di Tebing Barat yang diduduki dan di Lembah Jordan di bawah rencana perdamaian yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Palestin telah menolak cadangan itu dengan mengatakan ia membunuh impian mereka untuk menubuhkan sebuah negara yang berdaya maju di Tebing Barat dan Jalur Gaza, wilayah Israel yang ditawan dalam perang Timur Tengah 1967.

Sebelum itu, tiga saluran televisyen utama di Israel meramalkan undi keluar berpihak kepada Netanyahu dan memperoleh 60 daripada 120 kerusi Parlimen, hanya satu kekurangan majoriti.

Tinjauan pendapat di Channel 13 pula menurunkan angka itu kepada 59 undi.

Jurucakap Parti Likud yang diwakili Netanyahu berkata, Perdana Menteri itu akan menyampaikan ucapan kemenangan pada waktu malam di ibu pejabat parti tersebut di Tel Aviv.

Sementara itu, menerusi ciapannya, Netanyahu mengucapkan terima kasih kepada penduduk Israel. – MalaysiaGazette