Hasni Mohammad
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berucap pada Majlis Bicara Motivasi dan Jati Diri Bangsa, Pelancaran Antologi Puisi di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 02 MAC 2022.

PONTIAN – Benut berpotensi muncul sebagai hub pendidikan yang diyakini mampu bersaing dengan kawasan lain di Johor terutamanya dalam mendapatkan keputusan yang cemerlang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohamad berkata, sasaran itu dapat dicapai kerana kawasan itu telah melahirkan ramai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil  Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan menduduki antara dua kedudukan terbaik.

Beliau yang juga penyandang kerusi DUN Benut berkata, kawasan di bawah Parlimen Pontian itu kini boleh menjadi contoh dan penting dengan membangunkan satu institusi agama.

“Benut juga seperti daerah-daerah lain ada potensinya. Kalau kita lihat di Pontian, Benut ini telah dapat melahirkan pelajar-pelajar SPM, STPM dan STAM yang ke hadapan berada di tangga pertama dan kedua.

“Ini bererti bahawa itu sepatut Benut menjadi contoh dan satu galakan di mana satu peluang yang begitu jelas ialah daerah pontian ini perlu ada satu institusi agama yang penting,” katanya yang juga Menteri Besar Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Bicara Motivasi dan Jati Diri Bangsa, Pelancaran Antologi Puisi di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 02 MAC 2022.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Ceramah Bangsa & Melancarkan Antologi Puisi di Rumah Citra Sri Pinang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, BN merancang untuk memulakan pembangunan sebuah sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah agama berasrama penuh di Benut agar menjadi sumber untuk membekalkan tenaga pelajar bagi memenuhi pembangunan Kolej Universiti Islam Johor.

Beliau menjelaskan, langkah itu selari dengan dengan hasrat untuk membangunkan dataran pendidikan di sepanjang pekan Benut.

“Ini kerana di sepanjang jalan utama Benut terdapat sekolah-sekolah dan kita telah mulakan langkah-langkah untuk mengubah lanskap dan juga ciri-ciri yang ada di pekan ini supaya ia menjadi atau memiliki ciri-ciri dan juga aspek pemodenan yg boleh diperkenalkan di Benut ini.

“Saya yakin dan percaya itu akan menjadi pencetus kepada pembangunan yang seterusnya,” katanya. – MalaysiaGazette