Idris Jusoh

KUALA LUMPUR – Pembangunan ekonomi dan modal insan rakyat setempat di Besut, Terengganu dijangka semakin pesat apabila kampus induk Universiti P. Ramlee bakal dibangunkan di kawasan berkenaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, hasrat
itu bakal menjadi realiti selepas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman telah meluluskan pembangunan universiti tersebut.

“Berita terbaru, yang panas-panas lagi, di mana Universiti P. Ramlee telah bersetuju membuat kampus induk di Kota Putera, Besut Terengganu.

“Hari Rabu kita berjumpa, Sabtu kita datang ke Besut, saya panggil pegawai UPEN, saya panggil naib canselor turun ke Besut.

“Isnin Menteri Besar tulis surat (kepada kementerian) dan hari Rabu Datuk Seri MB luluskan (Universiti P.Ramlee),” katanya berucap pada Himpunan Warga Kota Putera, Besut Terengganu di Kompleks YJN Bukit OUG, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dan veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yusof Noor.

Pemilihan nama Universiti P. Ramlee adalah disebabkan sumbangan yang besar Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam industri seni tanah air.

Pada 28 November tahun lepas, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bakal dinaik taraf menjadi Universiti P. Ramlee.

Selepas penjenamaan tersebut, UPR akan berdiri sendiri di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berdasarkan model Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

ASWARA yang terletak di Jalan Tun Ismail, di sini akan dinaiktaraf sebagai Universiti P. Ramlee pada penghujung tahun ini setanding dengan unversiti awam terkemuka negara. – MalaysiaGazette.