Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diiringi Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Amiruddin Hamzah melawat tapak pameran ketika hadir pada Persidangan Perisikan Pasaran Pelancongan Kesihatan Tahunan Terkemuka (INSIGHT 2019) di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 24 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Barisan Nasional (BN) didakwa mengabaikan penyelenggaraan bangunan hospital awam sebaliknya lebih berminat membina hospital awam yang baharu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, BN dahulu sepatutnya turut memberi fokus kepada penyelenggaraan bangunan hospital awam lama kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

Menurut beliau, keutamaan bangunan baharu oleh BN menyebabkan terdapat bangunan hospital lama yang menjadi usang dan ada bangunan yang tidak boleh digunakan lagi.

“Jangan kata hospital awam sahaja, balai polis pun sama. Macam balai di parlimen saya, bangunan tiga tingkat namun hanya tingkat atas yang boleh guna.

“Ini kerana kerana kerajaan sebelum ini mengabaikan bangunan lama hingga kedudukannya menjadi usang. Sepatutnya ada bangunan baharu, bangunan perlu dijaga juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perisikan Pasaran Pelancongan Kesihatan (insigHT 2019) di sini hari ini.

Beliau sebelum itu diminta mengulas sama ada terdapat peruntukan untuk hospital awam dalam Bajet 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober ini.

Guan Eng menambah, kerajaan Pakatan Harapan kini memberi tumpuan kepada konsep 3R iaitu Replace, Repair dan Restock. – MalaysiaGazette