Borneo Mega Raya Fest 2024

KOTA KINABALU – Dengan menghimpunkan lebih 80 jenama eksklusif dan 19 selebriti ternama, Borneo Mega Raya Fest 2024 edisi kedua kembali kali ini dengan skala lebih besar berbanding edisi sulung tahun lalu.

Festival fesyen raya terbesar di Sabah itu bakal berlangsung selama 10 hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini bermula 29 Mac hingga 7 April ini anjuran oleh Jeeharris Corporation.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jeeharris Corporation, Harris Baba berkata, penganjuran Borneo Mega Raya Fest 2024 ini selepas kejayaan pihaknya melangsungkan festival fesyen terbesar itu buat julung kalinya tahun lepas.

“Kami tidak sabar untuk menghidangkan kepada rakyat Sabah, termasuk wilayah berdekatan seperti Labuan, Sarawak dan Brunei Darussalam dengan Festival Fesyen Raya terbesar.

“Festival ini disasar menjadi penanda aras dalam penganjuran pesta fesyen di Borneo yang ditunggu-tunggu setiap tahun.

“Susulan kejayaan festival ini pada 2023 yang berjaya menarik kira-kira 5,000 pengunjung sehari untuk tempoh 14 hari festival berlangsung, edisi kedua pastinya jauh lebih mengujakan untuk pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengunjung bukan saja dapat membeli-belah keperluan raya seperti baju raya daripada jenama fesyen terkenal tempatan, bahkan dapat bertemu ramai selebriti dan pempengaruh terkenal sambil menikmati persembahan muzik.

“Untuk edisi 2024, festival ini akan menampilkan lebih 80 jenama eksklusif serta menghimpunkan kira-kira 19 selebriti dan pempengaruh ternama negara.

“Acara yang pastinya akan menaikkan adrenalin pengunjung adalah Happy Hour Sale, Meet & Greet bersama Selebriti, pertunjukan fesyen, persembahan artis dan band serta pelbagai hadiah tiket bertuah untuk pengunjung bertuah,” katanya.

Antara barisan selebriti dan pempengaruh yang bakal memeriahkan Borneo Mega Raya Fest 2024 adalah MK K-Clique, Khairy Jamaluddin, Dato Aliff Syukri, Adira Suhaimi, Rozita Che Wan, Zain Saidin, Bella Astillah dan ramai lagi.

Selain itu, beliau berkata, buat kali pertamanya, Borneo Mega Raya Fest menampilkan jenama besar untuk kepuasan membeli-belah pengunjung termasuk Rizman Ruzaini, FiziWoo dan Fustaan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jeeharris Corporation, Harris Baba

“Apa yang penting, kami di Jeeharris ingin menyediakan platform kepada pempamer yang terlibat untuk memperkenalkan jenama dan produk mereka kepada seluruh Borneo menerusi Borneo Mega Raya Fest 2024.

“Kami juga berharap dapat membantu dan menyokong usahawan muda untuk membawa jenama serta produk mereka ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Katanya lagi, lebih menarik lagi acara festival fesyen raya itu akan berlangsung bersebelahan dengan bufet Ramadan terbesar di Sabah dengan lebih 700 hidangan anjuran SICC.

“Ini pastinya akan memberikan pengalaman tidak dapat dilupakan oleh pengunjung kerana bukan saja dapat membeli-belah daripada rangkaian jenama terbaik tetapi juga menikmati jamuan lazat dan pelbagai ketika berbuka puasa.

“Kami menyasarkan Borneo Mega Raya Fest 2024 untuk menarik kira-kira 4,000 hingga 5,000 pengunjung sehari dari 29 Mac hingga 7 April ini.

“Lebih 100 gerai menawarkan kelengkapan raya seperti baju, kosmetik, makanan dan banyak lagi yang akan dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette