Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 telah bermula lebih awal daripada dijadualkan iaitu 19 Oktober lalu.

Sebelum itu ia dijadualkan pada 26 Oktober ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembayaran BPN 2.0 fasa pertama itu dapat dipercepatkan ekoran komitmen para pegawai kementerian, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan institusi kewangan terlibat.

Sehubungan itu, kata kenyataan itu, pembayaran sedang dibuat secara berperingkat dengan mengutamakan golongan B40.

Pembayaran telah pun bermula pada 19 Oktober lalu melibatkan 7.5 juta penerima, iaitu 3.7 juta penerima kategori isi rumah dan 3.8 juta penerima kategori bujang.

Manakala golongan M40 pula yang melibatkan 3.1 juta
penerima, iaitu 1.4 juta penerima kategori isi rumah dan 1.7 juta penerima kategori bujang, pembayaran telah bermula mulai 22 Oktober 2020.

Proses pengkreditan bayaran BPN 2.0 ini akan berterusan dan dijangka diselesaikan sebelum hujung bulan Oktober 2020.

Bagi penerima BPN yang tidak mempunyai akaun bank, mereka boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 26 Oktober 2020.

Manakala penerima yang didapati gagal kredit pula akan dapat membuat penunaian mulai minggu kedua November 2020.

Memandangkan terdapat beberapa negeri yang
sedang dalam tempoh PKPB, pihak BSN akan mengeluarkan panduan SOP dari semasa ke semasa bagi menjaga kesihatan dan keselamatan penerima.

Kerajaan juga ingin mengingatkan bahawa tempoh permohonan baharu BPN 2.0 masih dibuka sehingga 15 November depan.

Bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekaligus pada bulan Januari 2021.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut atau semakan, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta emel kepada [email protected] MalaysiaGazette