KUALA LUMPUR –  Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menjadikan dua kawasan yang terjejas teruk ekoran bencana banjir, iaitu Kampung Bukit Changgang di Banting dan daerah Bentong, Pahang, sebagai ‘kawasan angkat’ untuk misi bantuan pasca banjir.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian itu telah menggerakkan sejumlah 600 kakitangan KPLB dan agensi di bawahnya sebagai sukarelawan bagi misi bantuan khas tersebut.

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengambil tanggungjawab itu dengan menjadikan kawasan Kampung Bukit Changgang di daerah Banting dan juga daerah Bentong di Pahang sebagai Kawasan Angkat untuk kita salurkan bantuan pasca banjir.

“Selain menghantar sukarelawan bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir di kawasan berkenaan, kita juga ada menyediakan bantuan dalam bentuk barangan keperluan hidup,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan pasca banjir di Kampung Batu Kapor dan Sungai Buloh, Mentakab hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Tambah Mahdzir, sejumlah 300 sukarelawan KPLB masing-masing akan ditempatkan di Bukit Changgang dan bakinya di daerah Bentong.

Ia bertujuan untuk membantu penduduk membersihkan kediaman mangsa-mangsa banjir yang terjejas termasuk membaiki pendawaian elektrik dan diikuti proses penilaian kerosakan untuk kerja-kerja baik pulih, ujarnya.

Dalam pada itu, KPLB turut memperuntukkan RM15,000 untuk kerja-kerja baik pulih bagi setiap rumah penduduk yang layak menerima bantuan.

Selain itu, KPLB turut memperuntukkan bantuan bina baharu rumah berjumlah RM15,000 bagi setiap rumah.

Sementara itu, Mahdzir memberitahu, KPLB sedang mengumpul data membabitkan data penduduk Projek Perumahan Rakyat Termiskin, (PPRT), jalan kampung, jalan perhubungan desa, jambatan, longkang, surau, taska dan tabika serta kemudahan sosial lain di bawah seliaan KPLB di seluruh negeri yang terjejas banjir.

Data berkenaan katanya, amat penting dan perlu segera dilengkapkan bagi memudahkan pihak KPLB merangka pelan pembaikan dan juga peruntukan kos.

“Kalau boleh ada senarai segera dan memang layak, dia ada orang yang sahkan, contohnya di kampung itu ada tujuh rumah, kampung sana ada lapan rumah, itu yang kita nak senarai dan data itu.

“Yang mana yang dah dapat data itu kita boleh laksanakan (bantuan baik pulih) RM15,000 dan kalau bina baharu RM56,000.

“Butiran satu negara belum dapat lagi tetapi ada daerah yang kita dah dapat seperti Hulu Langat sebahagiannya kita dah dapat,” katanya.

Dalam lawatan kerja pasca banjir itu, Mahdzir turut menyampaikan bantuan 2,000 selimut dan 2,000 dapur gas kepada mangsa banjir di negeri Pahang.

Beliau juga menyerahkan pelbagai barangan keperluan seperti lampin pakai buang, minyak masak, tuala wanita, air mineral, beras, sejadah dan telekung yang disumbangkan UMNO Bahagian Padang Terap. – MalaysiaGazette